Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

26 June, 2010

Penduduk kawasan Kabo / Awi join projek agropolitan Bukit Sadok

BETONG, Jumaat (25 Jun) – Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah atau RISDA kini sudah pun memulakan projek perintisnya iaitu penanaman getah di kawasan Kabo / Awi, Saratok di bawah program Projek Agropolitan Bukit Sadok, Betong.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu anak Numpang berkata projek perintis kendalian RISDA ini membabitkan penduduk dari sembilan buah rumah panjang dalam kawasan terbabit.

“Menerusi Projek Agropolitan Bukit Sadok ini, penduduk dari kawasan Kabo / Awi menerusi kendalian pihak RISDA telah memulakan kerja penanaman getah di atas tanah berkeluasan 391 hektar.

“Dalam tempoh sembilan bulan mulai sekarang pihak kita akan dapat melihat pokok getah sudah ditanam di kawasan Kabo / Awi. Lebih tepat lagi ialah selepas bulan Jun tahun hadapan,” katanya tanpa menyatakan kos projek terbabit.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sebaik sahaja selesai mempengerusikan Mesyuarat Persediaan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat Negeri Sarawak di bilik persidangan Pejabat Residen Betong hari ini.

Selain itu Projek Agropolitan Bukit Sadok kata Jabu juga sudah pun diterima pada peringkat persekutuan di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10) untuk program rancangan pembangunan seterusnya selepas ini.

“Kejayaan perlaksanaan Projek Agropolitan Bukit Sadok di Betong sebenarnya bergantung kepada tiga faktor penting iaitu Pertanian, Kemudahan Infrastruktur dan Tenaga Kerja Manusia.

“Dengan adanya kemasukan Projek Agropolitan Bukit Sadok di bawah RMK10 sekarang maka pihak kita akan memulakan usaha membina kemudahan jalan raya dalam kawasan projek ini bagi memberi laluan kepada usaha pertanian menerusi tenaga kerja manusia pada masa akan datang,” menurut beliau.

Jabu yang juga Menteri Permodenan Pertanian memberitahu Projek Agropolitan Bukit Sadok ini mencakupi kawasan Ulu Spak, Layar, Ulu Skrang, Pakan, Julau dan Lubok Antu.

Hadir sama ialah Setiausaha Tetap Kementerian Permodenan Pertanian, Dr Ngenang Janggu, Pengarah Pertanian Sarawak, Paul Ritom, Residen Betong, Datu Romie Sigan Daniel dan Pengurus Besar SALCRA, Datu Vasco Sabat Singkang.

Tamat.

No comments:

Post a Comment