Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

10 June, 2010

MRP bukti BN bantu rakyat - Rayong


Caption: MANFAATKAN...Rayong (dua kiri) menyampaikan cek MRP kepada seorang penerima pada majlis itu sambil disaksikan oleh Nyalau (tiga kiri).

ENGKILILI, Selasa (9 Jun) – Peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) kepada penduduk adalah merupakan bukti keprihatinan kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam menaiktaraf hidup mereka selama ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili, Dr Johnnical Rayong anak Ngipa berkata pembangunan untuk penduduk daripada kerajaan BN datang dari pelbagai cara dan salah satunya adalah penyaluran peruntukan MRP.

“Pemberian peruntukan MRP oleh kerajaan kepada persatuan, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), masjid dan gereja adalah merupakan bukti bahawa BN tidak berat sebelah dalam menaiktaraf hidup penduduk.

“Justeru saya berharap agar penduduk yang menerima peruntukan MRP daripada kerajaan BN memanfaatkan sepenuhnya peruntukan terbabit demi kebaikan masa depan hidup mereka selepas ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Gawai Dayak Bersama Yang Berhormat anjuran JKKK Gaie @ Maing Lidong, Betong di Balai Raya Skim Skrang, Engkilili baru-baru ini.

Sementara itu Rayong juga berharap agar penduduk terus menyokong penuh Dasar Politik Pembangunan yang diperkenalkan oleh Ketua Menteri Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud semenjak 30 tahun lalu.

“Dasar Politik Pembangunan amat penting kerana ia menyatu-padukan semua penduduk berbilang kaum dalam negeri ini bagi mewujudkan satu platform politik yang stabil dan seterusnya menjadi pemangkin pembangunan utama.

“Justeru saya menyeru semua penduduk untuk sama-sama menyokong penuh Dasar Politik Pembangunan Ketua Menteri agar Sarawak mampu mencapai taraf sebagai sebuah negeri termaju dalam Malaysia pada masa hadapan,” katanya.

Terdahulu Rayong menerusi majlis itu telah menyampaikan MRP yang mencatatkan nilai keseluruhan berjumlah RM368,000 kepada beberapa buah JKKK dan persatuan dalam kawasan DUN beliau.

Beliau pada majlis itu juga turut mengumumkan peruntukan MRP bernilai RM5,000 kepada JKKK Rumah Gaie manakala RM3,000 pula untuk biro wanita rumah panjang berkenaan.


Turut hadir dalam majlis itu ialah Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau anak Badak, Pegawai Penerangan Parlimen JASA P.203 Lubok Antu, Geoffery Baja anak Ricky Maba dan para ketua kaum dalam kawasan ini.

Tamat.

No comments:

Post a Comment