Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

11 June, 2010

KPDNKK jangan tidur! - Jeraki


Mugshot: JENNARINO JERAKI

SRI AMAN, Khamis (10 Jun) – Pemilik syarikat rakaman Golden Pearl Recording Studio iaitu Jennarino Jeraki menyarankan pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Kepenggunaan dan Koperasi (KPDNKK) untuk lebih serius dalam menangani isu cetak rompak mulai sekarang.

Saranan ini dikeluarkan apabila beliau mendapati bahawa terdapat tiga buah premis perniagaan di Pekan Kapit bertindak menjual album VCD Karaoke yang telah dicetak rompak dari album asal milik syarikat beliau secara berleluasa kelmarin.

“Ketika tiba di Pekan Kapit untuk mengadakan persembahan lagu kelmarin, saya berasa amat terkejut apabila terdapat tiga buah premis perniagaan di sini yang menjual album yang dicetak rompak dari album asal milik syarikat kami.

“Kesemua pekerja di situ mengatakan mereka tidak tahu menahu apabila saya bertanya kepada mereka tentang perkara terbabit. Secara keseluruhannya perkara ini membuatkan saya berasa marah dan kesal (kerana ia dijual berleluasa tanpa sebarang tindakan),” katanya ketika menghubungi Utusan Sarawak hari ini.

Selain itu pihak KPDNKK kata Jeraki harus mempunyai rasional untuk lebih tegas dalam menangani isu memandangkan syarikat rakaman terpaksa mengeluarkan kos di antara RM10,000 hingga RM15,000 bagi memperoleh sijil perakuan B dan sticker tulen dalam setiap keluaran album vcd artis rakaman mereka.

Jika syarikat rakaman mematuhi arahan kerajaan untuk membayar sijil perakuan B dan sticker tulen terbabit maka pihak KPDNKK kata beliau harus serius dalam memastikan isu cetak terbabit diselesaikan.

Katanya adalah tidak berbaloi bagi sesebuah syarikat rakaman untuk membayar ribuan ringgit bagi memperoleh sijil perakuan B dan sticker tulen bagi setiap album keluaran mereka terhadap KPDNKK sedangkan pihak terbabit sendiri tidak serius menangani isu cetak rompak berkenaan.

“Lihat saja peristiwa yang berlaku di Pekan Kapit. Album kami telah dicetak rompak dan dijual secara berleluasa kepada penduduk sehingga saya sendiri menyaksikan perkara tersebut di depan mata.

“Apakah yang dilakukan oleh pihak KPDNKK di sini (Kapit) selama ini? Selagi mereka hanya bertindak duduk di pejabat maka selagi itulah industri lagu Iban tempatan akan terus mengalami kerugian berjumlah puluhan ribu ringgit akibat kejadian cetak rompak,” katanya.

Justeru Jeraki mahu pihak KPDNKK untuk mengotakan motto dan janji mereka dalam membenteras masalah cetak rompak dan bukan hanya sekadar bercakap kosong di masa akan datang.

Tamat.

No comments:

Post a Comment