Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

16 June, 2010

Kelab Gimnasium Rakyat Sri Aman cadang mahu naik yuran masuk


Caption: BERSELOROH...Zul (dua kanan) sedang berjenaka dengan AJK Kelab Gimnasium Rakyat Sri Aman ketika berlangsungnya mesyuarat berkenaan kelmarin.

SRI AMAN, Selasa (15 Jun) – Pengguna kemudahan Gimnasium Rakyat Sri Aman diminta untuk bersedia bagi menghadapi cadangan kadar bayaran harian terbaru untuk kemasukan ke dalam pusat kemudahan berkenaan.

Terdahulu para pengguna telah dikenakan bayaran sebanyak RM1 seorang bagi sekali kemasukan ke pusat Gimnasium Rakyat Sri Aman sebelum timbulnya cadangan untuk menaikkan kadar bayaran terbabit kepada RM2 selepas ini.

Kenaikan ini telah dicadangkan menerusi mesyuarat yang berlangsung di Rumah MAKSAK Sri Aman berhubung persetujuan mengenai Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kelab Gimnasium Rakyat Sri Aman dan Jabatan Belia dan Sukan Sri Aman kelmarin.

“Pihak kelab menerusi MoU terbabit bakal mengambilalih sepenuhnya hal ehwal pengurusan Pusat Kemudahan Gimnasium Rakyat Sri Aman yang mencakupi bayaran yuran penggunaan kemudahan, perlantikan jurulatih sambilan, penyelenggaraan peralatan dan beberapa perkara yang lain.

“Justeru pihak kelab bercadang untuk menaikkan kadar bayaran penggunaan kemudahan di sini sebanyak RM2 seorang (sekali guna) melainkan RM1 untuk mereka yang sudah menjadi ahli dalam kelab ini,” kata jurucakap kelab berkenaan.

Cadangan mengenai kenaikkan bayaran masuk ke Pusat Kemudahan Gimnasium Rakyat Sri Aman ini katanya bertujuan untuk menampung kos pembayaran bil elektrik, air, penyelenggaraan peralatan barang gimnasium dan sebagainya.

Perkara ini katanya akan dibawa ke pihak Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Sri Aman untuk tujuan perbincangan lanjut dan kelulusan daripada pihak berkenaan dalam masa terdekat ini.

“Pusat Gimnasium Rakyat Sri Aman masih mengenakan kadar bayaran kemasukan yang terendah berbanding dengan lain-lain pusat gimnasium dalam negeri ini. Justeru cadangan kenaikkan bayaran kemasukan ini dilihat dapat melicinkan lagi jentera pengurusan kelab di masa akan datang,” katanya.

Terdahulu Kelab Gimnasium Rakyat Sri Aman telah mengadakan mesyuarat pada jam 5.30 petang kelmarin bagi membincangkan isi kandungan MoU antara kelab berkenaan dan Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Sri Aman.

Hadir sama pada mesyuarat berkenaan ialah Pengerusi Kelab Gimnasium Rakyat Sri Aman, Zulhairil bin Sulaiman, Timbalan Pengerusi, Ellison anak Lingoh, Bendahari Kewangan, Rogayah Ali dan ahli jawatankuasa kelab yang lain.


Tamat,






No comments:

Post a Comment