Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

20 June, 2010

Jangan gopoh nak join projek sawit - Mong


Caption: TERIMALAH...Mong (tiga kanan) ketika menyampaikan anak ayam kepada tuai-tuai rumah wakil rumah panjang masing-masing dalam majlis itu.

SRI AMAN, Sabtu (19 Jun) – Pemilik Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) dinasihat agar menyertai syarikat pemaju yang berdaftar dengan Kementerian Kemajuan Tanah sekiranya mahu melibatkan diri dalam projek pertanian komersial seperti penanaman sawit selepas ini.

Menteri Muda Pertanian (Penyelarasan dan Penyelidikan), Mong anak Dagang berkata ia bertujuan untuk mengelakkan pemilik Tanah NCR mengalami kerugian jika melibatkan diri dalam projek pertanian komersial secara usahasama dengan syarikat pemaju yang tidak berdaftar dengan pihak kementerian.

“Terdapat pemilik Tanah NCR dari beberapa buah rumah panjang dalam kawasan Bukit Begunan yang menghadapi masalah kerugian seperti dari segi pembayaran faedah dan dividen berhubung perkara berkenaan.

“Justeru jangan tergesa-gesa membuat keputusan berhubung isu ini. Pemilik Tanah NCR sebaliknya harus meneliti dahulu latar belakang syarikat pemaju berkenaan sebelum bertindak menandatangani perjanjian projek pertanian komersial secara usahasama dengan pihak berkenaan,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penyerahan Anak Ayam di Rumah Winston Mupit anak Jana, Sungai Besai Asal, Pantu anjuran Jabatan Pertanian Bahagian Sri Aman baru-baru ini.

Para pemilik Tanah NCR sebaliknya kata Mong digalak untuk menyertai pihak Lembaga Pemuliharaan dan Penyatuan Tanah Sarawak atau SALCRA dan PELITA jika mahu mengusahakan tanaman komersial seperti sawit selepas ini.

“Ada pihak pembangkang yang memainkan perkara ini sebagai isu. Bagaimanapun saya berharap agar penerangan berkenaan dapat menyedarkan pemilik tanah NCR berhubung niat untuk membangunkan tanah masing-masing di masa akan datang,” katanya.

Terdahulu Mong menerusi majlis berkenaan telah menyerahkan sejumlah 10,360 anak ayam yang bernilai lebih daripada RM30,000 untuk diagihkan kepada 735 keluarga dari sekitar kawasan Bukit Begunan.

Beliau juga turut mengumumkan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) bernilai RM7,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Rumah Winston Mupit, Sungai Besai manakala RM3,000 untuk biro wanita rumah panjang berkenaan.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pegawai Penerangan Jabatan Hal Ehwal Khas Parlimen P.202 Sri Aman, Whelton Lumpoi, para kakitangan kerajaan dan ketua kaum dari sekitar Sri Aman.

Tamat….




No comments:

Post a Comment