Please jump to our new blog --> www.newsriamannews.blogspot.com

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

21 June, 2010

Jabu mahu banyak cawangan PITSA ditubuh di Sarawak

BETONG, Isnin (21 Jun) - Timbalan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu anak Numpang mahu lebih banyak cawangan Persatuan Ibu Tunggal Sarawak atau PITSA ditubuhkan dalam negeri ini pada masa akan datang.

Menurut beliau penubuhan PITSA akan membolehkan lebih ramai golongan ibu tunggal mendaftarkan diri masing-masing dalam persatuan terbabit demi perjuangan kebajikan hidup mereka selepas ini.

“Cawangan PITSA harus ditubuhkan dengan lebih banyak dalam negeri ini. Ia demi membolehkan kerajaan memantau dan seterusnya menghulurkan bantuan terhadap golongan berkenaan dari masa ke semasa,” katanya.

Jabu berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Persatuan Ibu Tunggal Sarawak cawangan Betong di Pejabat Daerah Betong yang disempurnakan oleh isteri beliau, Senator Dato Sri Empiang Jabu baru-baru ini.

Selain itu kerajaan kata Jabu juga turut menyediakan pelbagai bantuan dan program pembangunan untuk setiap individu dan program ini tidak terkecuali untuk golongan ibu tunggal.

Oleh yang demikian setiap ibu tunggal menurut beliau perlu mengambil pelung tersebut terutama sekali dalam peluang perniagaan bagi membentuk kekuatan ekonomi dikalangan diri mereka dan keluarga selepas ini.

Sementara itu Empiang menerusi ucapannya mencadangkan pihak PITSA agar membawa isu pembuangan bayi ke di peringkat ibupejabat atau Biro Wanita bagi tujuan pembincangan untuk mencari langkah penyelesaiannya selepas ini.

“Salah satu faktor berlakunya kes pembuangan bayi adalah disebabkan oleh teman lelaki wanita yang tidak mahu bertanggungjawab mahupun mengaku sebagai ayah terhadap anak yang dikandung atau dilahirkan.

“Berikutan itu ramai yang membawa kes terbabit ke mahkamah dan ada yang bertindak untuk membuang bayi sebagai penyelesaian terakhir. Jika terdapat kes seperti itu saya mencadangkan adalah lebih baik jika diadakan ujian darah bagi mengesahkan pemilikan anak terbabit,” menurut beliau.

Beliau juga turut mencadangkan perlantikan seorang ahli yang pengetahuan dan memiliki kepakaran dalam bidang kaunseling dalam setiap cawangan PITSA bagi menangani sebarang masalah keluarga yang timbul.

Hadir sama ialah Menteri Sumber Alsi dan Alam Sekitar, Dato Sri Douglas Uggah Embas dan Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Saban, Robert Lawson Chuat. Kesemua mereka termasuk Jabu dan isteri menyumbang sumber kewangan kepada PITSA cawangan Betong berjumlah RM21,000.

Terdahulu PITSA mempunyai 36 cawangan dalam seluruh Sarawak dengan keahlian berjumlah 7,300 orang. PITSA cawangan Betong pula yang ditubuhkan pada Disember 2008 kini mempunyai 120 orang ahli.
Tamat.

No comments:

Post a Comment