Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

26 June, 2010

Hari Peladang, Penternak, Nelayan di Betong 31 Julai - 2 Ogos ini


Caption: UMUM...Jabu ketika menjawab pertanyaan para pemberita pada sidang media berkenaan. Turut kelihatan ialah (dari kiri) Paul, Romie dan Ngenang.


BETONG, Jumaat (25 Jun) – Bandar Betong bakal menjadi tumpuan ribuan orang pengunjung apabila berlangsungnya sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat Negeri Sarawak bermula 31 Julai hingga 2 Ogos ini nanti.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu anak Numpang mengumumkan perkara ini kepada pemberita sebaik sahaja selesai mempengerusikan Mesyuarat Persediaan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat Negeri Sarawak di bilik persidangan Pejabat Residen Betong hari ini.

Katanya sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat Negeri Sarawak ini nanti akan berlangsung di kawasan perkarangan luar Dewan Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan, Betong bermula dari tarikh penganjuran berkenaan.

“Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat Negeri Sarawak yang akan berlangsung selama tiga hari ini nanti dianjurkan berasaskan kepada tema Pertanian Adalah Perniagaan.

“Program ini nanti akan dimeriahkan menerusi penglibatan sejumlah 15 buah agensi kerajaan, 124 buah gerai berdaftar dan 71 buah tapak khemah untuk tujuan pameran serta lain-lain aktiviti bermula dari 31 Julai hingga 2 Ogos ini,” kata Jabu.

Selain itu katanya pelbagai aktiviti telah dirancang bagi menjayakan program terbabit antaranya ialah pameran hasil tani dan teknologi pertanian moden, randau teknologi, ceramah, gerai jualan hasil tani, pertandingan peladang, pameran haiwan, demonstrasi memasak, lawatan ke tapak projek dan sebagainya.

Dengan adanya aktiviti seumpama itu, Jabu yakin bahawa penduduk khusus sekali dari sekitar kawasan Betong akan dapat pelbagai ilmu mengenai industri pertanian moden di negara ini pada masa akan datang.

“Saya yakin program berkenaan akan dapat mewujudkan kesedaran dikalangan penduduk miskin tegar mengenai betapa pentingnya pertanian moden untuk mempertingkatkan taraf hidup mereka selepas ini.

“Justeru saya mengalu-alukan kedatangan semua penduduk dari dalam dan luar kawasan Betong untuk hadir beramai-ramai bagi menjayakan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat Negeri Sarawak bermula dari tarikh yang dinyatakan,” katanya.

Hadir sama ialah Setiausaha Tetap Kementerian Permodenan Pertanian, Dr Ngenang Janggu, Pengarah Pertanian Sarawak, Paul Ritom, Residen Betong, Datu Romie Sigan Daniel dan Pengurus Besar SALCRA, Datu Vasco Sabat Singkang.

Ketua Menteri, Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud akan merasmikan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat Negeri Sarawak pada 31 Julai ini dan seterusnya melancarkan buku bergambar mengenai tranformasi pembangunan kawasan Betong pada majlis itu.

Tamat.

No comments:

Post a Comment