Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

25 June, 2010

Dua kampung mulakan kempen penanaman semula getah


Caption: SERIUS...Izuwan kelihatan sibuk sedang menulis rekod peserta yang memohon bantuan daripada pihak RISDA di Sri Aman hari ini.


SRI AMAN, Khamis (24 JUn) – Kampung Sigak dan Kampung Melayu Engkilili muncul sebagai kampung pertama dalam Bahagian Sri Aman yang akan memulakan projek Penanaman Semula Getah bermula bulan Julai ini nanti.

Projek yang mendapat bantuan daripada Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah atau RISDA ini bakal melibatkan penanaman semula getah di atas tanah berkeluasan 24 hektar milik 29 orang peserta dari kedua-dua kampung berkenaan.

“Peserta dari Kampung Sigak dan Kampung Melayu Engkilili adalah merupakan pihak yang pertama mendapat kelulusan sementara Bantuan Tanam Semula daripada pihak RISDA sebelum ini.

“Bantuan Tanam Semula bernilai RM10,000 untuk satu hektar tanah milik pemohon ini akan membolehkan kesemua 29 orang peserta terbabit memulakan kerja penanaman semula getah di tanah masing-masing bermula bulan hadapan (Julai),” kata Pembantu Pertanian RISDA iaitu Mohd Izuwan bin Yahya.

Menerusi projek berkenaan katanya kesemua peserta dijangka akan mampu meraih hasil perolehan getah sebanyak 2,000 kilogram setahun bagi setiap hektar tanah yang terlibat dalam projek ini.

Sementara itu tindakan RISDA memperkenalkan bantuan Tanam Semula berkenaan kata Izuwan ialah untuk membantu mengurangkan kadar kemiskinan penduduk dalam negara ini khususnya sekali di Sri Aman.

Justeru pihak RISDA katanya telah membuka pejabat cawangan baru mereka di Jalan Hospital (bangunan Peach Court) dalam Bandar Sri Aman yang bakal memulakan operasinya bermula 1 Julai kelak demi mempertingkatkan lagi usaha membasmi kemiskinan dalam daerah ini.

“Justeru diharap para peserta dari Kampung Sigak dan Kampung Melayu Engkilili dapat memanfaatkan sepenuhnya bantuan yang mereka terima daripada pihak RISDA berhubung projek ini dari masa ke semasa,” menurut beliau.

Terdahulu Izuwan bersama Pemaju Masyarakat RISDA Sri Aman, Isaa Stalin Simon dan bakal Pemaju Masyarakat RISDA, Warren Sambau telah melakukan tinjauan ke tapak penanaman semula getah di beberapa buah kawasan hari ini.

Sehingga kini terdapat 171 orang pemohon dari 12 buah kampung dalam kawasan Sri Aman yang memohon Bantuan Tanam Semula dan Bantuan Peningkatan Produktiviti Getah (PPG) daripada pihak RISDA.

Tamat.

No comments:

Post a Comment