Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

28 June, 2010

Budak Iban belum kuasai bhasa Ibunda


Caption: TAMAT GAWAI...(dari kanan) Siaw, Mong, Masir dan Isau sedang menyempurnakan upacara Ngilang Tikai secara bersama ketika berlangsungnya majlis berkenaan.



SRI AMAN, Ahad (27 JUn) – Menteri Muda Pelancongan dan Warisan, Mong anak Dagang yakin bahawa majoriti golongan generasi baru orang Iban tidak menguasai sepenuhnya bahasa Ibunda mereka sendiri pada masa sekarang.

Senario ini katanya boleh dilihat apabila terdapat golongan generasi muda orang Iban itu sendiri yang gagal menguasai matapelajaran Bahasa Iban dengan begitu baik pada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Golongan ini dapat menguasai matapelajaran Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris dengan begitu baik namun gagal menguasai matapelajaran bahasa Ibunda mereka sendiri menerusi peperiksaan SPM.

“Walaupun tidak semua namun ia menunjukkan bahawa penggunaan Bahasa Iban dikalangan orang Iban pada masa sekarang mula tergugat. Bahasa Iban akan hilang keasliannya pada zaman akan datang jika tiada tindakan awal dilakukan mulai sekarang,” menurut beliau.

Mong yang juga Menteri Muda Permodenan Pertanian berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Makan Malam Penyampaian Sijil Tamat Ajat dan Ngiling Bidai anjuran Persatuan Budaya Iban Sri Aman di Dewan Suarah Sri Aman malam tadi.

Selain itu beliau juga mahu setiap kaum mempertahankan penggunaan bahasa Ibunda masing-masing selepas ini demi mengekalkan budaya dan warisan kaum dalam negeri Sarawak pada masa akan datang.

“Terdapat segelintir orang Iban moden yang enggan bertutur dalam bahasa Ibunda di antara satu sama lain kerana disebabkan rasa malu ketika berada di negeri orang. Mereka seharusnya bangga bertutur dalam bahasa Ibunda mereka sendiri.

“Dengan berbuat demikian bahasa Iban akan dapat diperkembangkan di peringkat lebih tinggi pada zaman akan datang dan seterusnya menyumbang ke arah promosi budaya dan adat resam mereka selepas ini,” katanya.

Mong menerusi majlis itu mengumumkan peruntukan bernilai RM5,000 kepada Persatuan Budaya Iban Sri Aman. Beliau juga turut mengumumkan peruntukan cek bernilai RM3,000 daripada Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau Badak.

Hadir sama ialah Ahli Parlimen Sri Aman, Masir anak Kujat, pemangku Pengarah Kebudayaan dan Keseniaan Negara Negeri Sarawak, Mohd Rozaidi Siaw bin Abdullah, Pengerusi Persatuan Budaya Iban Sri Aman, Johnatan Isau anak Jangan dan wakil jabatan kerajaan di sini.

Terdahulu seramai 96 orang penduduk dari sekitar Bandar Sri Aman menerima sijil tamat kursus Ajat Iban yang berlangsung di Dewan Suarah Sri Aman bermula bulan April hingga Jun tahun ini.

Tamat.

No comments:

Post a Comment