Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

06 May, 2010

Zulkifly lawat SMK Kedit Betong


Caption: UNTUK ALBUM...Dato Zulkifly (tengah belakang) dan rombongan ketika merakamkan gambar kenangan bersama Dr Lambat (belakang dua kiri), kakitangan sekolah dan pelajar pada sesi lawatan terbabit.


BETONG, Rabu (5 Mei) – Ketua Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM), Dato Haji Zulkifly Mohd Wazir dan rombongan telah melakukan lawatan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Patinggi Kedit, Betong baru-baru ini.

Lawatan berkenaan adalah merupakan Program Penandaarasan Pegawai-pegawai KPM dan Jabatan Pelajaran Negeri Sarawak (JPNS) bersempena dengan penempatan Guru Sandaran Siswazah Terlatih (GSST) kali ke-2 dalam tahun 2010 ini.

Rombongan beliau ini telah disertai oleh Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah harian, Razali Haji Idris, Pegawai di KPM, Haris Yahya, Penolong Pengarah, Unit Menengah, Sektor Pengurusan Sekolah, Jabatan Pelajaran Negeri Sarawak, Phang Chun Yow dan Florina Abitt serta Ketua Unit, Unit Pengurusan Sekolah, Pejabat Pelajaran Daerah Betong, Noraini Haji Alli.

Kedatangan Zulkifly dan rombongan ke sekolah berkenaan telah disambut dengan meriah oleh kakitangan sekolah dan pelajar di situ dengan tarian menyambut tetamu Ngajat oleh para pelajar SMK Datuk Patinggi Kedit Betong dan kalungan hasil seni kraftangan terhadap beliau dan ahli rombongan yang lain.

Walaupun ringkas upacara terbabit secara tidak langsungnya menggambarkan adat yang sentiasa dipelihara oleh pihak pengurusan sekolah yang ditadbir oleh pengetua sekolah terbabit iaitu Dr Lambat anak Lindong dalam merealisasikan Gagasan 1Malaysia.

Dalam lawatan berkenaan, beliau bersama rombongan sempat memantau program GSST yang telah dihantar bertugas ke sekolah berkenaan bermula pada hari tersebut. Rombongan juga sempat melihat kawasan sekolah berkenaan termasuk kawasan asrama puteri

Penekanan kepada masalah disiplin juga diberi tumpuan oleh Zulkifly di mana beliau berkesempatan untuk melihat pengurusan e-disiplin yang dikendalikan oleh guru disiplan sekolah berkenaan iaitu Sigat anak Sang.

Beliau pada lawatan itu berpendapat bahawa disiplin adalah punca kecemerlangan akademik memandangkan disiplin menyumbang kepada faktor pencapaian akademik pelajar sekiranya ia terus dipertingkatkan dalam diri masing-masing.

Lawatan Zulkifly dan rombongan berakhir setelah selesai perjumpaan ringkas di antara pihaknya dengan pihak pengurusan SMK Datuk Patinggi Kedit Betong. Beliau bersama rombongan kemudiannya melawat ke Pejabat Pelajaran Daerah Betong selepas itu.

Tamat.

No comments:

Post a Comment