Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

23 May, 2010

Publisitikan budaya menerusi internet - Harden


Caption: PENGHARGAAN...Harden sedang menyampaikan insentif kepada Anchon Raoh sambil disaksikan oleh Masir (dua kiri) dan Roselyn (kanan sekali) pada majlis itu malam tadi.

SRI AMAN, Ahad (23 Mei) – Budaya dan adat resam semua kaum dapat menyumbang kepada perkembangan program Homestay jika adanya publisiti yang lebih hebat menerusi Teknologi Komunikasi dan Maklumat (ICT) kata Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden anak Hollis.

Ini kerana kemudahan ICT terutama sekali internet menurut beliau mempunyai akses yang lebih menyeluruh dan dapat dilayari oleh mana-mana penduduk dari luar negara dari masa ke semasa.

“Selain media cetak, internet juga boleh dijadikan medium utama untuk mempromosi budaya dan adat resam kaum kita seperti Main Asal milik orang Iban terhadap pengunjung luar negara.

“Jika promosi Main Asal menerusi internet mampu menarik minat pengunjung luar untuk datang ke sini (Sarawak) maka ia boleh ditonjolkan terhadap mereka menerusi perlaksanaan Program Homestay di mana-mana rumah panjang atau kampung selepas itu,” katanya.

Harden yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Makan Malam Gawai Dayak 2010 anjuran Sarakup Indu Dayak Sarawak (SIDS) cawangan Sri Aman di Dewan Suarah Sri Aman malam tadi.

Penglibatan lebih ramai pengunjung luar ke dalam Program Homestay di negeri ini kata beliau secara tidak langsung akan mengalakkan penduduk untuk memperhebatkan usaha penerapan adat resam dan budaya kaum di kalangan generasi muda masing-masing.

“Ia membolehkan adat resam dan budaya kita terus terpelihara di masa akan datang. Golongan generasi baru akan dilatih dan diajar untuk mengamalkan budaya kaum masing-masing bagi tatapan pelancong asing dari masa ke semasa.

“Ini faedah perkara yang positif mengenai kemudahan internet. Justeru saya menyeru semua persatuan kaum untuk menubuhkan blog atau laman web masing-masing menerusi internet bagi mempromosi budaya dan adat resam kaum mereka untuk menarik kedatangan pelancong asing pada masa akan datang,” katanya.

Harden turut menambah bahawa perkembangan Program Homestay akan mengalakkan penduduk kampung atau rumah panjang untuk melibatkan diri dalam kegiatan ekonomi seperti menjual produk kraftangan dan banyak lagi.

Terdahulu beliau telah mengumumkan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) bernilai RM5,000 kepada SIDS cawangan Sri Aman menerusi majlis berkenaan.

Hadir sama ialah Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat, Timbalan Residen Sri Aman, Desmond Douglas Jerukan, Penasihat SIDS cawangan Sri Aman, Dora Landong, Pengerusi SIDS cawangan Sri Aman, Roselyn Abunawas, para pegawai kerajaan dan penduduk dalam bandar ini.

Majlis Makan Malam Gawai Dayak 2010 yang bertemakan Besarakup Nuju 1Malaysia ini telah diserikan lagi dengan Pekit Kumang Gawai Dayak SIDS 2010, penyampaian wang insentif pendidikan, persembahan kebudayaan dan persembahan nyanyian karaoke.

Tamat.

No comments:

Post a Comment