Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

14 May, 2010

PPD Betong anjur SPMK 2010


Caption: SIBUK...Sebahagian daripada para guru pra-sekolah yang melibatkan diri dalam bengkel terbabit di Betong.

Oleh Saleman Senin, PPD Betong


BETONG, Khamis (13 Mei) – Unit Pengurusan Sekolah, Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Betong telah menganjurkan Bengkel Latihan Sistem Maklumat Prasekolah Kebangsaan (SMPK) 2010 di sini kelmarin.

Bengkel SMPK yang berlangsung di Pusat Kegiatan Guru Betong ini bertujuan untuk memantapkan lagi pengurusan sistem maklumat untuk guru prasekolah di kawasan daerah Betong.

“Ia juga merujuk kepada saranan Jabatan Pelajaran Negeri yang mahukan maklumat tersebut disampaikan terus kepada pihak sekolah. Data yang lengkap juga haruslah dipenuhi dalam sistem tersebut.

“Guru prasekolah menerusi bengkel ini telah diminta untuk membawa semua maklumat tentang sekolah, data guru, data Pembantu Pengurusan Murid dan data terperinci pelajar bagi tujuan pengisian maklumat secara online,” menurut pengendali bengkelnya, Yusof Anthony.

Katanya semua pra sekolah yang melibatkan diri dalam Bengkel SMPK ini telah diberi tanggungjawab untuk mengisi data mereka sendiri bagi memberi ruang kepada mereka untuk mempelajari dan mengetahui sistem berkenaan.

Perlaksanaan Bengkel SMPK ini juga kata Yusof adalah amat wajar memandangkan para guru amat mengenal pelajar masing-masing ketika mengemaskini data sekolah menerusi sistem online bengkel itu.

“Justeru pihak kami berharap agar pengurusan di peringkat kementerian akan berjalan seperti yang diperlukan menerusi data yang telah dikemaskini tanpa menimbulkan sebarang masalah selepas ini nanti,” katanya.

Yusof menerusi Bengkel SMPK ini juga turut dibantu oleh Pegawai Pengendali Unit Prasekolah PPD Saratok, Abang Kamaludin bin Abang Ahmad dan guru pra-sekolah SK dari SK Abang Abdul Kadir Betong, Jaiton Mohd Ali.

Terdahulu sehingga awal tahun 2010, sebanyak 47 buah sekolah telah berada dibawah seliaan PPD Betong dan 46 buah sekolah daripada jumlah ini telah diwujudkan kelas prasekolah.

Penilaian dan penelitian dari hasil pembelajaran kelas prasekolah di Betong juga jelas berhasil apabila Prasekolah Daerah Betong telah berjaya menjuarai lima daripada enam buah pertandingan sempena Karnival Prasekolah peringkat Zon 2 (Daerah Sarikei, Maradong, Julau, Sri Aman Lubok Antu, Saratok dan Betong) yang dilangsungkan di Bahagian Sarikei bagi sepanjang tahun 2009.

Tamat.

No comments:

Post a Comment