Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

17 May, 2010

Polis! Tolong pantau rumah kosong di Jalan Resak


Caption: PERLU DIPANTAU...Gambar menunjukkan salah sebuah kuaters kosong yang didakwa menjadi sarang kegiatan tidak bermoral oleh individu tertentu selama ini.

SRI AMAN, Jumaat (14 Mei) – Penghuni Kuaters Kerajaan di laluan Jalan Resak dalam bandar Sri Aman memohon jasa baik pihak berkuasa untuk membenterasa kegiatan tidak bermoral yang sering dilakukan oleh pihak tertentu di kuaters kosong dalam kawasan terbabit mulai sekarang.

Menerusi kenyataan yang difaks kepada Utusan Sarawak hari ini, seorang penghuni yang enggan namanya disiarkan mendakwa bahawa keluarganya telah diganggu oleh golongan terbabit pada malam 10 Mei lalu.

“Orang yang tidak dikenali telah datang ke kuaters kediaman kami sekitar jam 9.30 malam dan seterusnya melaung meminta kesemua kami keluar dari kediaman masing-masing.

“Lebih menyakitkan hati golongan berkenaan telah mengeluarkan kata-kata lucah sambil memaki hamun penghuni kuaters di sini. Saya yakin golongan terbabit berani bertindak demikian kerana telah dipengaruhi alkohol atau hayal setelah menghidu gam,” katanya menerusi kenyataan tersebut.

Senario ini katanya mewujudkan rasa cemas dikalangan ahli keluarganya termasuk diri beliau sendiri kerana bimbang mungkin akan dicederakan oleh golongan terbabit selepas itu.

Sementara itu pengadu berkenaan juga mendakwa bahawa kuaters bernombor 56, 57, 58 dan 62 sering dijadikan tempat oleh golongan berkenaan untuk melakukan aktiviti tidak bermoral seperti maksiat, mencuri dan menghidu gam.

“Kuaters kosong ini mungkin dianggap tempat yang amat sesuai oleh golongan berkenaan berdasarkan kepada faktor semak-samun dan pokok yang tumbuh bagi melindungi kuaters terbabit.

“Tambahan pula kawasan kuaters kosong berkenaan terlalu gelap dan sunyi pada waktu malam. Justeru penghuni di sini meminta jasa baik pihak berkuasa tempatan terutama sekali polis untuk meninjau kawasan terbabit selepas ini,” katanya.

Tinjauan rambang Utusan Sarawak hari ini mendapati bahawa kuaters kosong berkenaan pernah dibangkitkan dalam isu fokus berita menerusi akhbar ini pada tahun lepas. Penghuni juga turut mendakwa pernah melihat golongan terbabit membawa tilam dan bantal ke kuaters kosong berkenaan untuk tujuan tertentu.

Tamat.

No comments:

Post a Comment