Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

17 May, 2010

Naim manfaat masa pencen - bela ikan Keli




Caption:

1. GIGIH...Naim ketika sedang melakukan kerga pengredan ikan keli.

2. LUMAYAN...Sadiah bersama anaknya ketika menunjukkan hasil ikan keli kepada media.

SIMUNJAN, Isnin (17 Mei) – Rata-rata pesara kerajaan akan memilih untuk menikmati pencen dan meluangkan masa bersama-sama ahli keluarga di rumah sebaik sahaja menamatkan perkhidmatan dengan jabatan kerajaan masing-masing.

Bagaimanapun bagi Abang Naim bin Abang Pauzi persaraan adalah merupakan waktu yang amat sesuai untuk melibatkan diri dalam bidang perusahaan pertanian bagi mempertingkatkan status ekonomi keluarga selepas ini.

Ia terbukti apabila beliau mula bergiat aktif dalam bidang perusahaan ikan keli bio secara persendirian bertempat di kediamannya dalam daerah kecil Simunjan semenjak bersara dari Majlis Daerah Simunjan (MDS) pada tahun 2009 dahulu.

Naim ketika ditemui menjelaskan bahawa sektor ternakan ikan air tawar semakin mendapat permintaan ramai terutamanya ikan keli yang mempunyai nilai pemakanan protein yang tinggi dan Omega 3 yang baik untuk kesihatan.

“Semenjak bersara dari MDS pada tahun lepas saya telah mula menjinakkan diri dalam bidang ini dengan menternak ikan keli bio dalam kanvas yang dibina di kawasan lapang seluas 500 meter persegi berhadapan rumah saya di Lot No.97, Taman Hijrah, Simunjan.

“Saya memulakan perusahaan tersebut dengan menternak 5,000 ekor ikan keli bio dalam lima buah kanvas sambil dibantu oleh oleh isteri saya, Saidah binti Saibi dan anak iaitu Abang Zeynul,” katanya.

Sambil mendapat tunjuk ajar dan bimbingan daripada pihak pembekal anak benih ikan keli dan pemborong hasil tuaian iaitu Honey Aquaculture, ternakan ikan keli ini menurut beliau akan diberi makan pellet pada setiap hari iaitu pukul 9 pagi dan 5 petang.

“Penternakan ikan keli dalam kanvas agak fleksibel kerana ia dapat dipindah ke lokasi yang ditentukan oleh pengusaha. Kanvasnya juga dapat disimpan sekiranya tidak mahu digunakan lagi.

“Selain itu ikan keli yang diternak dalam kanvas mempunyai rasa lebih enak berbanding ikan keli yang diperoleh dalam sungai kerana ia tidak berbau hanyir berpandukan kepada kekerapan kita menukar air ternakan,” menurut beliau.

Naim juga menambah bahawa ikan keli mudah diternak kerana ia tahan lasak terutama sekali dari segi serangan penyakit, perubahan cuaca dan keadaan persekitaran.

“Kelebihannya ialah perusahaan ini membolehkan kita menuai hasil ikan keli dalam jangkamasa yang agak singkat. Saya bersama keluarga mampu meraih pendapatan sekitar RM2,000 hingga RM4,500 (sekali tuaian) apabila hasil ini dihantar kepada pihak pemborong selain menjualnya sendiri kepada penduduk tempatan.

“Saya anggap perusahaan penternakan ikan keli mampu menjana pendapatan yang lumayan jika di usahakan dengan betul dan penuh yakin. Sesiapa yang berminat untuk berkongsi pengalaman dalam perusahaan ternakan ikan keli boleh menghubungi saya di talian 019-8260507,” menurut beliau.

Tamat.

No comments:

Post a Comment