Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

20 May, 2010

KRT Kampung Hilir Sri Aman cipta nama di peringkat negeri

Caption: UNTUK ALBUM...Khadijah (kiri) dan Hashim (kanan) ketika menghadiri Majlis Sambutan Hari Perpaduan Peringkat Negeri 2010 di Sibu.

SRI AMAN, Rabu (19 Mei) – Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Hilir Sri Aman melakar kenangan manis dalam sejarah penubuhan KRT mereka setelah diumumkan sebagai penerima Anugerah KRT Cemerlang 2009 Peringkat Negeri Sarawak baru-baru ini.

KRT Kampung Hilir Sri Aman menerima anugerah berkenaan menerusi Majlis Sambutan Hari Perpaduan Peringkat Negeri 2010 bertempat di Bandar Sibu anjuran Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional Negeri Sarawak.

Mereka mendapat pengiktirafan ini menerusi sumbangan mereka dalam aktiviti kemasyarakatan disamping aktif dalam merangka pelbagai program di sekitar kawasan Sri Aman bagi sepanjang tahun lepas.

Selain itu KRT Kampung Hilir juga nyata tidak pulang dengan ‘tangan kosong’ apabila tiga orang peserta mereka berjaya memperoleh kedudukan dan hadiah menerusi pertandingan yang berlangsung pada Sambutan Hari Perpaduan Peringkat Negeri 2010 itu.

Peserta Jiranita KRT Kampung Hilir, Nur Khadijah Abdullah telah memperoleh gelaran Johan Kek Lapis Sarawak apabila Kek Lapis Pautan 1Malaysia milik beliau diiktiraf sebagai kek lapis terbabit pada majlis berkenaan.

Manakala itu Pengerusi KRT Kampung Hilir iaitu Haji Hashim Fauzan pula telah mendapat tempat ke-3 dalam Pertandingan Suara Emas dan Mas Nurfarahani Mas Mashore pula memperoleh hadiah saguhati dalam Pertandingan Suara Jiranmuda pada majlis berkenaan.

Hashim ketika ditemui menjelaskan bahawa KRT Kampung Hilir berasa amat berbangga di atas kejayaan mereka dalam memperoleh Anugerah KRT Cemerlang 2009 Peringkat Negeri Sarawak pada majlis.

“Kejayaan ini akan mendorong pihak kami untuk lebih aktif dalam melaksanakan pelbagai program dan aktiviti kemasyarakatan di sekitar kawasan Sri Aman pada masa akan datang,” menurut beliau.

Tamat.

No comments:

Post a Comment