Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

22 May, 2010

Kerajaan adil agih bajet - Nyalau


Caption: RASMI...Nyalau (kiri sekali) ketika memukol gong sebagai tanda rasminya majlis itu. Turut kelihatan ialah Koh (tengah) dan Mujah (kanan sekali)

Edwin Raoh

LUBOK ANTU, Sabtu (22 Mei) - Kerajaan Barisan Nasional (BN) sentiasa berlaku adil ketika mengagihkan peruntukan mahupun bantuan kepada setiap rakyat yang memerlukan pembelaan dalam negara ini kata Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau Badak.

Justeru semua jabatan katanya harus bertanggungjawab untuk memastikan setiap kakitangan mereka turun padang bagi membuat penyelidikan terperinci mengenai rakyat yang seharusnya menerima bantuan atau peruntukan daripada kerajaan selepas ini.

“Ini demi mempastikan segala peruntukan dan bantuan yang kita (kerajaan) beri sampai kepada kumpulan sasaran rakyat yang seharusnya menerima bantuan berkenaan dan bukannya kepada lain-lain golongan tidak layak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Info Berstari 1Malaysia serta Pengambaran Program Anjung Bestari anjuran Jabatan Penenerangan Malaysia bahagian Lubok Antu di Komuniti Bestari Nanga Jela, Lubok Antu, baru-baru ini.

Selain itu Nyalau juga mahu Tuai Rumah atau Ketua Kampung untuk membantu mendaftarkan rakyat yang layak mendapat bantuan menerusi program E-Kasih dan Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) selepas ini.

Beliau berkata, kegagalan berbuat demikian menyebabkan rakyat menyalahkan wakil rakyat kerajaan kerana gagal bertindak untuk memperjuangkan kebajikan hidup mereka di masa akan datang.

“Rakyat yang layak tidak akan mendapat bantuan E-Kasih dan PPRT jika Tuai Rumah malas turun padang untuk membantu mereka mendapatkan bantuan tersebut. Akhirnya yang menjadi mangsa ialah wakil rakyat (YB) kawasan mereka sendiri,” katanya.

Nyalau menerusi majlis itu telah mengumumkan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) sebanyak RM10,000 kepada JKKK Nanga Jela dan RM3,000 kepada biro wanita rumah panjang berkenaan..

Hadir sama ialah Pegawai Penerangan dari Ibupejabat Jabatan Penerangan Malaysia Sarawak, Kuching iaitu Koh Kumbong, Pegawai Daerah Lubok Antu, Nelson Mujah Girie dan ketua kaum di sini.

Tamat….

No comments:

Post a Comment