Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

27 May, 2010

Dua syarikat bas disaman LPKP Sarawak - Hasbi


Caption: BUKTI...Resit menunjukkan pengguna bas ekpress dari Miri – Saratok telah dikenakan tambang sebanyak RM90 berbanding harga tetap iaitu RM72 bagi satu perjalanan.

SRI AMAN, Khamis (27 Mei) – Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sarawak telah bertindak menyaman dua buah syarikat bas ekspress dalam negeri ini kerana mengenakan harga tambang bas yang melebihi kadar harga dibenarkan oleh LPKP kelmarin.

Terdahulu isu mengenai perkara ini telah dibangkitkan dalam laman web sarawakupdate.com apabila seorang pengguna mendakwa telah dikenakan tambang sebanyak RM90 oleh sebuah syarikat bas ekspress tempatan berbanding harga yang dibenarkan oleh LPKP iaitu RM72 bagi satu trip perjalanan dari Sarikei ke Miri.

Pengguna dari Saratok itu juga turut mengemukakan resit bayaran kepada laman web berkenaan yang diberikan oleh syarikat bas terbabit sebagai bukti bahawa mereka telah dikenakan harga tambang melebihi kadar yang ditetapkan oleh LPKP berkuatkuasa 1 Mei lepas.

“Kedua-dua syarikat bas berkenaan telah disaman oleh LPKP kelmarin setelah bukti resit yang menunjukkan bahawa mereka telah mengenakan kadar tambang bas yang melebihi kadar ditetapkan oleh pihak kita.,” kata Pengerusi LPKP Sarawak, Hasbi Habibolllah ketika dihubungi hari ini.

Para petugas LPKP yang menyamar untuk menyiasat perkara ini katanya telah memperoleh bukti resit berkenaan menerusi urusniaga bayaran yang berlaku di dalam bas terbabit dan bukannya di kaunter pembayaran syarikat.

Untuk itu Hasbi memberi amaran kepada semua pengusaha syarikat bas ekspress dalam negeri ini agar tidak menaikkan tambang bas melebihi kadar harga yang telah ditetapkan oleh pihak LPKP.

“Pihak kita tidak akan teragak-agak menarik lesen operasi syarikat berkenaan sekiranya mereka berdegil berhubung isu ini. Justeru orang ramai diminta mengemukakan bukti resit bayaran tambang masing-masing jika mereka rasa ditipu oleh syarikat bas ekspress selepas ini,” katanya.

Bukti pembayaran resit ini kata Hasbi adalah amat penting agar pihak LPKP dapat melakukan siasatan lanjut terhadap mana-mana syarikat bas ekspress yang bertindak mengenakan tambang melebihi harga yang ditetapkan berkuatkuasa 1 Mei lepas.

“Syarikat bas ekpress tidak seharusnya menambah beban rakyat terutama sekali menjelang sambutan perayaan utama dalam negeri ini. Mengaut keuntungan dengan cara ini bukannya tindakan yang patut,” menurut beliau.

Tamat

No comments:

Post a Comment