Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

27 May, 2010

Buat persiapan sebelum tanam getah - Shahrudin


Caption: TAHNIAH...Shahrudin (kanan) sedang menyampaikan sijil kepada seorang peserta (kiri) sambil disaksikan oleh Isaac (tengah), Warren (dua kiri) dan Donaldbain pada majlis itu.

SRI AMAN, Khamis (27 Mei) – Penduduk dinasihat untuk membuat perancangan awal sekiranya mahu melibatkan diri dalam aktiviti penanaman Getah secara mini atau menyeluruh selepas ini.

Pegawai Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah atau RISDA Bahagian Samarahan, Shahruddin Sabri berkata perancangan awal amat penting demi memastikan tanaman Getah mereka membuahkan hasil yang terbaik apabila mencapai peringkat umur ekonomik kelak.

“Perancangan lebih teliti perlu dilihat oleh bakal pekebun getah dari segi faktor penggunaan tanah, cara penyelanggaraan, sistem pembinaan parit, kesuburan tanah, keperluan asas getah dan sebagainya.

“Justeru bakal pekebun kecil getah perlu menguasai pengetahuan yang baik berhubung hal ini. Cara terbaik ialah mendapatkan nasihat daripada pihak RISDA sebelum memulakan aktiviti penanaman getah di tanah masing-masing,” katanya.

Shahrudin berkata demikian demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Penutupan Rasmi Kursus Penyediaan Tanah dan Penanaman Getah RISDA bertempat di sebuah hotel tempatan dalam bandar Sri Aman hari ini.

Selain itu pihak RISDA kata Shahrudin juga menasihatkan para pekebun getah untuk mendapatkan pembeli yang mahu membeli hasil getah masing-masing dengan harga yang sewajarnya.

Pihak RISDA katanya mahu para pembeli datang dan tunduk dengan tawaran harga jualan getah oleh pekebun kecil dan bukannya tunduk terhadap harga getah yang ditawarkan oleh pembeli terbabit.

“RISDA tidak membeli hasil getah pekebun berkenaan sebaliknya membantu mereka untuk menjual getah masing-masing dengan harga yang sewajarnya daripada golongan pembeli.

“Ia merupakan usaha kita untuk mempertingkatkan ekonomi penduduk. Justeru diharap agar pekebun getah dapat memanfaatkan segala maklumat yang mereka peroleh daripada pihak RISDA di masa akan datang,” katanya.

Hadir sama ialah Pemaju Masyarakat RISDA Sri Aman, Isaac Stalic anak Simoi, Pemaju Masyarakat RISDA kawasan Panggil, Warren Sambu dan para kakitangan RISDA yang lain.

Ceramah kursus yang dikendalikan oleh Abdul Aziz Said, Rosli Sulaiman dan Ramzan Awang Mat bermula 24 Mei hingga 27 Mei ini telah melibatkan penyertaan seramai 34 orang penduduk dari Sri Aman, Sarikei dan Simunjan.

Kursus ini bertujuan untuk menambah pengetahuan terkini mengenai kaedah penanaman getah dikalangan para penduduk.

Tamat.


No comments:

Post a Comment