Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

29 April, 2010

Wanita perlu kuasai ICT - Rohani


Caption: KUASAI ICT...Rohani (kanan sekali) sedang melihat penggunaan komputer dikalangan kanak-kanak sambil diiringi oleh (dari kiri sekali) Latifah, Simoi, Sharifah dan Ramani pada majlis itu malam tadi.

SRI AMAN, Khamis (29 April) – Golongan wanita terutama sekali surirumah digalak untuk menceburkan diri dalam bidang perniagaan internet menerusi kemudahan Teknologi Komunikasi dan Maklumat (ICT) selepas ini.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Hajah Rohani binti Abdul Karim berkata pembabitan golongan surirumah dalam dunia perniagaan dilihat amat penting bagi mempertingkatkan status ekonomi keluarga masing-masing.

“Internet menawarkan banyak jenis perniagaan sepenuh masa atau sampingan kepada mana-mana individu yang berminat untuk mencari pendapatan tambahan diri masing-masing.

“Justeru saya mengalakkan wanita terutama sekali surirumah untuk menceburi bidang ini selagi ia adalah perniagaan yang sah untuk meningkatkan pendapatan keluarga masing-masing selepas itu,” menurut beliau.

Rohani yang juga Ahli Parlimen Batang Lupar berkata demikian ketika berucap merasmikan Pusat ICT Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) Kawasan Sri Aman bertempat di bangunan persatuan terbabit malam tadi.

Selain itu internet kata Rohani juga boleh digunakan oleh golongan wanita untuk tujuan interaksi sosial dan bertukar pandangan mengenai sesuatu isu yang terjadi di sekeliling mereka.

Laman web Facebook kata beliau adalah merupakan salah contoh laman web yang membolehkan golongan wanita untuk berbincang mengenai isu terutama sekali tentang status kemajuan wanita pada masa akan datang.

“Malahan golongan wanita juga boleh membuat transaksi membeli-belah dengan mendaftarkan diri masing-masing dalam e-shop atau menghantar butiran rasmi dengan menggunakan mail elektronik.

“Perlu ada anjakan paradigma dikalangan wanita moden pada zaman sekarang terutama bagi mereka dari bandar Sri Aman ini. Kita mahu golongan wanita dalam Bandar Sri Aman menjadi pakar IT di masa akan datang,” katanya.

Hadir sama ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Hajah Simoi Haji Peri, Residen Sri Aman, Abang Shamshuddin Abang Seruji, Timbalan Yang Dipertua NCWO, Dato Ramani Gurusamy, wakil Microsoft Komuniti Affairs, Sharifah Maryam, Pengerusi PPWS kawasan Sri Aman, Khadijah Abdullah dan Pengerusi ICT PPWS kawasan Sri Aman, Latifah Mantali.

Rohani telah menyumbang sejumlah tiga buah unit komputer untuk kegunaan pusat ICT berkenaan manakala Microsoft Komuniti Affairs pula menyumbang sejumlah dua buat unit komputer bagi tujuan yang sama.

Tamat.

1 comment:

  1. Ini bgus utk smua..rasanya xsmua org mampu bli pc..so xnak buat pusat sewa pc ka? Aq cuma mampu browsing intnet gune mobile je..free hooo!

    ReplyDelete