Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

07 April, 2010

Rayong calon SUPP di Engkilili?





Mugshot:

1. NYAMBONG...Banyak penyokong

2. LAI...Tentukan sekarang

3. SIBAT...Rayong mesra rakyat

4. BANGKONG...Tiada masalah.

SRI AMAN, Selasa (7 April) – Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.28 Engkilili kini makin hangat diperkatakan apabila pilihan raya negeri dikhabarkan akan berlangsung pada tahun ini atau selewat-lewatnya pada pertengahan tahun hadapan.

Ini kerana semenjak Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP – Barisan Nasional) tewas di kerusi berkenaan menerusi calonnya iaitu Jonathan Krai Pilo kepada calon Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) iaitu Dr Johnical Rayong Ngipa pada pilihan raya negeri 2006, kini timbul isu bahawa siapakah calon BN yang layak untuk bertanding di kerusi berkenaan pada pilihan raya negeri akan datang.

Rayong, 48, anak jati kelahiran Skim Skrang yang telah mengistyiharkan diri sebagai Rakan BN walaupun bertanding atas tiket SNAP pada pilihan raya negeri sebelumnya diwar-warkan bakal mengibar bendera SUPP selaku calon BN untuk bertanding di kerusi terbabit menjelang pilihan raya negeri ini nanti.

Untuk itu, Utusan Sarawak telah mengambil kesempatan ini untuk mendapatkan pendapat daripada beberapa orang pemimpin parti dari kawasan DUN N.28 Engkilili berhubung spekulasi berkenaan.

Setiausaha SUPP cawangan Engkilili, Kanselor Nyambong anak Maweng berkata Rayong adalah calon yang paling untuk bertanding selaku calon SUPP di DUN Engkilili selepas ini memandangkan beliau banyak mendapat sokongan rakyat dalam kawasan berkenaan.

“Beliau adalah seorang pemimpin berjiwa rakyat dan sering bekerjasama dengan pemimpin BN yang lain. Justeru pihak kami telah menghantar nama Rayong ke pihak pucuk pimpinan parti agar beliau menjadi calon SUPP pada pilihan raya negeri akan datang,” katanya.

Penolong Setiausaha SUPP cawangan Engkilili, Kanselor Lai Chaw Soon berpendapat bahawa pucuk pimpinan SUPP harus menentukan segara bakal calon yang layak untuk bertanding di kerusi DUN Engkilili pada pilihan raya negeri ini nanti bagi mengelakkan timbulnya kekeliruan dikalangan rakyat.

“Saya bersetuju beliau layak dipilih oleh SUPP untuk bertanding di kerusi berkenaan pada pilihan raya negeri ini nanti memandangkan Rayong adalah merupakan seorang pemimpin yang rajin turun padang untuk bertemu dengan rakyat.

“Mungkin akan ada ramai pihak yang turun padang untuk berkempen bagi merebut jawatan calon SUPP di situ menjelang pilihan raya negeri akan datang selagi SUPP sendiri tidak bertindak menentukan calon yang layak bertanding di situ dalam masa terdekat ini,” katanya.

Timbalan Pengerusi SUPP cawangan Engkilili, Kanselor Sibat anak Krutap pula berpendapat bahawa tiada sebab bagi pihak SUPP untuk tidak mencalonkan Rayong bagi mempertahankan kerusi DUN Engkilili pada pilihan raya negeri kelak memandangkan beliau disukai oleh semua rakyat di sini.

“Saya amat bersetuju beliau dipilih sebagai calon SUPP untuk pilihan raya negeri ini nanti memandangkan Rayong merupakan seorang wakil rakyat yang mudah dibawa bekerjasama dengan semua ketua kaum di kawasan Engkilili.

“Beliau juga adalah seorang pemimpin yang mesra rakyat. Oleh itu saya yakin beliau akan dapat memimpin rakyat DUN Engkilili dengan lebih baik sekiranya diserapkan dalam BN selepas ini,” katanya.

Sementara itu Timbalan Pengerusi Parti Rakyat Sarawak (PRS) Bahagian Engkilili, Kanselor Bangkong anak Mawing pula berpendapat Rayong tidak mempunyai masalah untuk memenangi kerusi DUN Engkilili sekiranya dipilih untuk mempertahankan kerusi itu dengan menggunakan tiket SUPP-BN pada pilihan raya negeri kelak.

“Beliau mempunyai banyak penyokong. Justeru saya berpendapat bahawa beliau tidak akan mempunyai sebarang masalah untuk mempertahankan kerusi itu dengan menggunakan tiket SUPP-BN pada pilihan raya negeri ini nanti,” katanya.

Terdahulu Timbalan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu anak Numpang ketika merasmikan Majlis Perlantikan Pengerusi, Timbalan Pengerusi dan Ahli Majlis, Majlis Daerah Lubok Antu di Engkilili baru-baru ini menganggap bahawa Rayong adalah seorang wakil rakyat yang mesra BN.

Rayong bertanding di kerusi DUN Engkilili pada pilihan raya negeri 2008 atas tiket SNAP dengan alasan bahawa beliau menentang calon yang dihantar oleh SUPP itu sendiri dan bukannnya menentang BN.

Tamat.

No comments:

Post a Comment