Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

04 April, 2010

Program pembangunan ekonomi akan diperkenal kepada golongan miskin - Nyalau


Caption: TERIMALAH…Nyalau (dua kanan) menyampaikan bantuan kepada seorang penerima sambil disaksikan oleh Felicia (kanan sekali) dan Sharifah (tiga kanan)

ENGKILILI, Ahad (4 April) – Kerajaan Negeri bercadang untuk memperkenalkan program pembangunan ekonomi kepada golongan penduduk yang kurang bernasib bagi meningkatkan taraf hidup mereka selepas ini.

Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau anak Badak berkata program pembangunan ekonomi terbabit akan membolehkan penerima bantuan kerajaan berupa wang tunai sebelum ini untuk terus berdikari tanpa mengharapkan bantuan kerajaan.

“Kerajaan akan menyediakan modal untuk golongan terbabit bagi mengusahakan pelbagai aktiviti ekonomi seperti membuat kuih atau mengusahakan tanaman sendiri untuk tujuan perniagaan masing-masing.

“Saya percaya menerusi program ini mereka akan hidup lebih selesa dengan lebih berdikari untuk memanfaatkan bantuan peruntukan kerajaan bagi tujuan kegiatan ekonomi masing-masing selepas ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penyampaian Bantuan Pertama Program Gempur Kebajikan (PGK) dan Program Hari Jabatan Kebajikan Masyarakat Bahagian Sri Aman Bersama Pelanggan di Dewan Serbaguna Majlis Daerah Lubok Antu, Engkilili baru-baru ini.

Sementara itu gelombang pembangunan yang kini sedang pesat berlangsung di negeri ini kata Nyalau bukan sahaja turut dinikmati oleh rakyat di kawasan bandar malahan turut menular ke kawasan luar bandar.

Kebijaksanaan kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam merangka sistem pentadbiran yang lebih bersistematik dan telus selama ini menyebabkan pembangunan dilaksana dengan penuh pesat di serata negeri hingga masa sekarang.

“Untuk mengekalkan ritma pembangunan ini saya menyeru semua rakyat untuk sama-sama berganding bahu dengan kerajaan bagi menjayakan segala projek pembangunan yang berlangsung dari masa ke semasa,” katanya.

Hadir sama ialah Timbalan Residen Bahagian Sri Aman (Pembangunan Sosial), Felicia Tan, Penolong Pengarah Bahagian Jabatan Kebajikan Masyarakat Bahagian Sri Aman Sharifah Ranimah Wan Hashim, Pegawai Penerangan Parlimen JASA P.203 Lubok Antu, Geoffery Baja anak Ricky Maba dan para ketua kaum dari sekitar kawasan berkenaan.

Terdahulu seramai 50 warga yang kurang bernasib baik dari sekitar kawasan daerah Lubok Antu menerima bantuan dalam bentuk wang tunai antara RM100 hingga RM300 yang disampaikan sendiri oleh Nyalau.

Sejumlah RM200,100 wang peruntukan disalurkan oleh kerajaan kepada 1,046 warga kurang bernasib baik dalam negeri ini dalam tempoh sebulan ini.

Tamat...



No comments:

Post a Comment