Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

20 April, 2010

Pesta Debak kembali temui penduduk 9 Mei ini


Caption: UNTUK ALBUM...Romie (berdiri tengah), Fathi (duduk tengah), James (duduk tengah) dan Razi (berdiri kanan) ketika merakam gambar kenang-kenangan selepas aktiviti gotong-royong di sini kelmarin.


DEBAK, Jumaat (20 April) – Pesta Debak akan kembali menemui penduduk dalam negeri ini khususnya di Betong bermula dari 9 Mei hingga 16 Mei kelak semenjak kali terakhir ia diadakan pada 18 tahun yang lepas.

Pesta Debak 2010 yang bakal menyajikan pelbagai acara tradisi dan moden untuk semua penduduk dalam negeri ini akan berlangsung di kawasan Tebingan Sungai Rimbas dalam daerah kecil Debak, Betong pada tarikh yang dinyatakan.

"Ia merupakan kali kedua Pesta Debak diadakan dalam daerah ini semenjak kali terakhir ia diadakan pada 18 tahun lepas. Ia adalah merupakan hasil sumbangan buah fikiran pelbagai pihak yang mahukan Pesta Debak terus dihidupkan di sini," menurut Pengerusi Pengelola program ini iaitu Dr. James Luing.

Pelbagai acara menarik kata beliau akan diadakan bersempena dengan sambutan Pesta Debak 2010 ini antaranya ialah Acara Lumba Perahu, Sukaneka, Pesta Ria, Pertunjukan Pentas, Bintang Kecil, Pertandingan Fesyen kanak-kanak, Pertandingan Ratu Kebaya, Bermukun, Bertandak dan Pangkah Gasing.

Malahan Pesta Debak 2010 yang bakal diadakan selama tujuh hari tersebut juga menurut James akan menyaksikan Perarakan Juntoi oleh kaum Tionghua disamping penganjuran pameran dan jualan beraneka menerusi gerai-gerai yang turut disediakan untuk peniaga pada pesta itu.

“Matlamat utama penganjuran program ini adalah mewujudkan masyarakat bersatu-padu dan harmoni melalui perjumpaan, pertemuan dan pergaulan menerusi aktiviti yang telah dirancangkan.

"Pesta Debak 2010 ini juga bakal mempertingkat sumber ekonomi penduduk demi pembangunan hidup masing-masing selepas ini," katanya ketika ditemui pada aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan Tebingan Sungai Rimbas bersama penduduk Debak bersempena sambutan pesta terbabit kelmarin.

Turut hadir sama dalam aktiviti gotong-royong tersebut adalah Residen Betong, Datu Romie Sigan Daniel, Timbalan Residen, Haji Fathi Kerni, Ketua Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Saribas, Ricky Mohammad Razi Sitam, para ahli MAKSAK dan ketua kaum sekitar daerah kecil Debak.

Sementara itu Pengerusi Publisiti Pesta Debak, Ricky Mohammad Razi Sitam memaklumkan bahawa pelbagai acara khusus dalam bidang sukan untuk para belia akan dilaksanakan ketika berlangsungnya sambutan Pesta Debak ini nanti.

Acara sukan yang bakal dilaksanakan dengan kerjasama Kelab Sukan dan Komuniti ADUN N.30 Saribas dan Kelab Sukan dan Rekreasi Debak iaitu ialah Pertandingan Bola Tampar, Sepak Takraw Betong, Badminton Acara Beregu, Street Soccer dan Jaringan Emas Bola Wanita Lima Sepasukan.

Acara-acara di dalam program ini katanya terbuka untuk semua penduduk di daerah Betong dan Saratok. Oleh yang demikian mereka yang berminat boleh menghubungi pihak urusetia di talian 083-464101 / 464103 di Pejabat Daerah Kecil Debak untuk tujuan pertanyaan lanjut berhubung pertandingan tersebut.

Tamat.

No comments:

Post a Comment