Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

28 April, 2010

Penyalahgunaan handphone dikalangan anak-anak amat membimbangkan - Rohani


Caption: RASMI SUDAH...Rohani (tengah) sambil diapit oleh Simoi (kiri), Shamshuddin (kanan) dan Rohana (belakang) sedang merasmikan pembukaan bangunan PAKK di Kampung Hilir hari ini.

SRI AMAN, Rabu (28 April) – Masalah penyalahgunaan kemudahan telekomunikasi terkini dikalangan kanak-kanak harus dipandang serius oleh semua pihak terutama sekali ibubapa golongan terbabit.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Hajah Rohani Abdul Karim berkata penyalahgunaan kemudahan telekomunikasi berkenaan dapat dilihat apabila berlakunya penyebaran gambar atau video porno menerusi telefon bimbit (handphone) dikalangan pengguna kanak-kanak pada masa sekarang.

“Telefon bimbit kini boleh dibeli dengan harga yang murah berbanding zaman dahulu. Sudah tentunya dengan kata lain golongan kanak-kanak seperti pelajar sekolah menengah dan rendah juga mempunyai keupayaan untuk memiliki alatan terbabit pada masa sekarang.

“Masalahnya sekarang ini ialah terdapat diantara mereka yang bertukar-tukar bahan lucah terbabit di antara satu sama yang lain menerusi alat itu. Senario ini semestinya amat membimbangkan apabila mereka sebenarnya belum matang dan bersedia untuk didedahkan dengan bahan seumpama itu sekarang ini,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Batang Lupar berkata demikian ketika berucap merasmikan Pusat Aktiviti Kanak-Kanak (PAKK) Kampung Hilir Sri Aman anjuran Pasukan Perlindungan Kanak-Kanak (PPKK) Bahagian Sri Aman di sini hari ini.

Dengan seseorang yang berumur 18 tahun ke bawah diklasifikasi sebagai kanak-kanak mengikut Akta Kanak-Kanak 2001, semua ibubapa harus sedar bahawa hampir 11.1 juta golongan terbabit adalah merupakan bakal peneraju pembangunan negara di masa akan datang.

“Halatuju pembangunan Malaysia di masa akan datang bergantung sepenuhnya kepada 39.2 peratus golongan kanak-kanak daripada 28.3 juta jumlah keseluruhan penduduk dalam negara ini pada masa sekarang.

“Golongan ini perlu dijaga dan dididik sepenuhnya agar mereka tidak terjerumus dalam masalah keruntuhan akhlak yang semestinya akan mempengaruhi masa depan hidup masing-masing selepas ini,” menurut beliau.

Justeru Rohani mahu semua golongan ibubapa, guru, kakitangan kerajaan dan agensi swasta turun padang untuk mencari jalan bagi mengelakkan berlakunya masalah penyalahgunaan kemudahan telekomunikasi terbabit di masa akan datang.

Hadir sama ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Hajah Simoi Haji Peri, Residen Bahagian Sri Aman, Abang Shamshuddin Abang Seruji, Pengerusi PPKK Bahagian Sri Aman, Rohana Ismawi, wakil Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak, Joni Naruddin, para pegawai kerajaan, ketua kaum dan penduduk dalam bandar ini.

Rohani pada majlis itu telah menyempurnakan simbolik pembukaan bangunan PAKK Kampung Hilir yang mempunyai sejumlah 143 orang kanak-kanak berdaftar semenjak ia mula beroperasi pada 1 November tahun lepas.

Tamat.

No comments:

Post a Comment