Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

03 April, 2010

Mujah minta kerajaan bagi elaun kepada ahli majlis


Caption: SUMPAH...Mujah ketika sedang mengangkat sumpah sebagai Pengerusi MDLA bagi penggal 2011 hingga 2012 pada majlis itu kelmarin.

ENGKILILI, Khamis (1 April) – Majlis Daerah Lubok Antu (MDLA) meminta jasa baik kerajaan untuk mempertimbangkan hal pembayaran elaun kepada para ahli majlis Kerajaan Tempatan selepas ini.

Pengerusi MDLA, Nelson Mujah anak Girie berkata ahli majlis Kerajaan Tempatan perlu diberikan elaun demi memudahkan mereka melaksanakan tugas dan kewajipan masing-masing terhadap rakyat dari masa ke semasa.

“Ahli majlis iaitu para kaunselor Kerajaan Tempatan sering diminta untuk menaja barangan atau sumber kewangan oleh pihak pelbagai pihak ketika berlangsungnya sesuatu majlis rasmi di kawasan masing-masing.

“Tindakan sebegini secara tidak langsung boleh memberi tekanan kepada mereka memandangkan ahli majlis tidak dibayar elaun oleh kerajaan sebelum ini. Justeru saya meminta jasa baik kerajaan untuk mempertimbangkan hal bayaran elaun kepada mereka,” katanya.

Beliau yang juga Pegawai Daerah Lubok Antu berkata demikian ketika berucap pada Majlis Istiadat Perlantikan Pengerusi, Timbalan Pengerusi dan Ahli-Ahli Majlis, Majlis Daerah Lubok Antu (MDLA) bagi Tahun 2010 – 2011 di Dewan Masyarakat Engkilili, Sri Aman kelmarin.

Mujah dalam ucapannya pada majlis itu mencadangkan agar kerajaan membayar elaun sebanyak RM300 atau lain-lain nilai kepada pihak ahli majlis Kerajaan Tempatan demi memudahkan perlaksanaan tugas masing-masing.

“Dengan berbuat demikian (pembayaran elaun) para ahli majlis Kerajaan Tempatan akan lebih mudah berdamping dengan rakyat ketika melaksanakan tugas masing-masing selepas ini,” katanya.

Terdahulu Timbalan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu anak Numpang telah merasmikan Majlis Istiadat Perlantikan Pengerusi, Timbalan Pengerusi dan Ahli-Ahli Majlis, Majlis Daerah Lubok Antu (MDLA) bagi Tahun 2010 – 2011 yang berlangsung pada jam 10 pagi kelmarin.

Hadir sama ialah Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau Badak, ADUN Engkilili, Dr Johnnical Rayong Ngipa, Setiausaha Tetap Kementerian Alam Sekitar dan Kesihatan Awam, Dr Penguang Panggil, Residen Sri Aman, Abang Shamshuddin Abang Seruji, Pengerusi MDLA, Nelson Mujah Girie, Setiausaha MDLA, Jaimie Lolita James dan Walikota Sri Aman, Piau Inggot.


Seramai 26 orang ahli majlis, MDLA mengangkat sumpah pada majlis itu. Empat dari 26 orang majlis berkenaan adalah muka baru bagi mengantikan empat orang ahli majlis yang telah bersara.

Tamat.


No comments:

Post a Comment