Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

11 April, 2010

Jangan tunggu arahan doktor jika mau bersenam


Caption:TAHNIAH...Harden (dua kiri) menyampaikan hadiah cabutan tiket bertuah kepada seorang penerima sambil disaksikan oleh Ibrahim (kiri sekali) dan Syennier (kanan sekali) pada majlis itu.

SRI AMAN, Sabtu (10 April) – Rakyat tidak harus menunggu saranan doktor untuk melaksanakan pelbagai aktiviti kesihatan dan kecergasan di kawasan masing-masing selepas ini demikian nasihat Menteri Muda Kemajuan, Datuk Francis Harden anak Hollis.

Ini kerana menurut beliau terdapat sebilangan rakyat yang hanya mula melaksanakan aktiviti kesihatan dan kecergasan setelah ditegur oleh doktor mengenai masalah kesihatan masing-masing di hospital atau klinik sebelum itu.

“Sebenarnya bersenam dan bersukan tidak perlu menunggu arahan doktor. Aktiviti kesihatan seumpama ini sepatutnya dilakukan oleh rakyat ketika ada masa terluang pada setiap hari ini.

“Ia bertujuan untuk meningkatkan tahap kesihatan dan kecergasan dalam diri masing-masing agar mereka tidak mudah mengidap penyakit yang berkaitan faktor kekurangan aktiviti kesihatan selepas ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Senam Cergas Komuniti Hujung Minggu 2010 anjuran Pejabat Belia dan Sukan Sri Aman dengan kerjasama Kelab Sukan Komuniti Simanggang di padang lama KPSU Sri Aman hari ini.

Selain itu Program Senam Cergas Komuniti Hujung Minggu 2010 ini kata Harden akan tetap diteruskan sehingga hujung tahun ini kelak bagi mengalakkan penglibatan lebih ramai rakyat Sri Aman dalam aktiviti kesihatan.

Program Senam Cergas Komuniti Hujung Minggu 2010 yang julungkalinya dianjurkan di padang lama KPSU Sri Aman hari ini menurut beliau akan tetap diadakan di lain-lain lokasi yang seterusnya.

“Pihak kita akan menganjurkan Program Senam Cergas Komuniti Hujung Minggu 2010 ini di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Aman, Kampung Muhibbah dan di padang Sekolah Kebangsaan Batu Lintang selepas ini.

“Lain-lain lokasi akan ditentukan kelak. Justeru saya berharap agar Program Senam Cergas Komuniti Hujung Minggu 2010 dapat menghimpunkan semua rakyat berbilang kaum dalam kawasan Sri Aman sejajar dengan perlaksanaan konsep 1Malaysia,” katanya.

Terdahulu seramai 1,500 orang penduduk melibatkan diri dalam Program Senam Cergas Komuniti Hujung Minggu 2010 yang bermula seawal jam 7.30 pagi hingga 9 pagi hari ini.

Program Senam Cergas Komuniti Hujung Minggu 2010 ini diserikan dengan upacara nyanyian lagu Negaraku, aktiviti Senam Cergas Komuniti, ucapan amanat oleh Harden dan cabutan tiket bertuah.

Hadir sama ialah Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Sri Aman, Shyennier Jean Serit, Pegawai Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Parlimen Sri Aman, Whelton Lumpoi, Pegawai JASA Parlimen Lubok Antu, Jeoffery Baja Ricky Maba, Pengetua SMK Simanggang, Ibrahim, para ketua kaum dan penduduk di bandar ini.

Tamat.

No comments:

Post a Comment