Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

20 April, 2010

Jangan termakan hasutan isu tanah nasihat Rayong


Caption: SELAMAT DAYANG...Rayong (dua kanan) bersama Nyalau (dua kiri) ketika menyempurnakan upacara memotong reben ketika tiba untuk merasmikan majlis terbabit.

ENGKILILI, Isnin (19 April) - Rakyat dinasihat agar tidak mudah terkeliru dengan hasutan oleh sesetengah pihak berhubung isu pengambilalihan tanah pusaka mereka daripada kerajaan selepas ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili Dr Johnical Rayong Ngipa berkata hasutan terbabit adalah merupakan taktik murahan oleh pihak tertentu yang ingin menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) lebih-lebih lagi ketika menjelang pilihan raya negeri akan datang.

"Kerajaan pada hakikatnya hanya menggunakan tanah tersebut bagi tujuan pembangunan yang bakal memberi impak positif dari segi peningkatan taraf hidup penduduk dalam kawasan berkenaan.

"Oleh itu adalah tidak wajar bagi penduduk yang termakan hasutan pihak berkenaan menuduh kerajaan cuba merampas tanah mereka," katanya sambil menambah tuduhan terbabit hanya akan mendatangkan kesulitan terhadap usaha kerajaan bagi melaksana projek pembangunan di kawasan mereka selepas itu.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program 1Malaysia Bersama Pemimpin di Rumah Melintang, Merindun Skim Skrang, Engkilili anjuran Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Sarawak bahagian Engkilili pada hari Sabtu lalu.

Selain itu kerajaan menurut Rayong juga tidak mengambil tanah milik penduduk dengan sewenang-wenangnya bagi tujuan pembangunan memandangkan pampasan akan dibayar kepada pemilik tanah mengikut harga semasa tanah tersebut.

"Kerajaan juga turut memberikan surat hakmilik tanah kepada penduduk bagi mengelakkan kekeliruan di masa akan datang. Ini merupakan bukti penting bahawa hasutan pihak tertentu mengenai isu ini berunsur politik

"Justeru saya berharap agar rakyat tidak mudah termakan hasutan pihak terbabit memandangkan kemajuan hidup pada masa akan datang adalah amat penting berbanding dengan mengikut telunjuk kata mereka selepas ini," katanya.

Hadir sama ialah Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau Badak, Pegawai Penerangan Parlimen JASA P.203 Lubok Antu, Geoffery Baja anak Ricky Maba, Pembantu Luar Kanan JASA N.28 Engkilili, Edwin Ancheh, Pembantu Luar JASA N.29 Batang Ai, kakitangan kerajaan dan ketua kaum di sini.

Rayong menerusi majlis itu mengumumkan Peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) bernilai RM5,000 kepada JKKK Tr Melintang, RM3,000 untuk biro wanita rumah panjang berkenaan, RM5,000 untuk JKKK Tr Bandang, RM7,000 untuk JKKK Tr Awing, RM5,000 untuk JKKK Tr Irak, RM5,000 untuk JKKK Tr Sintan, RM3,000 untuk JKKK Tr Tak, RM3,000 untuk JKKK Tr Junting, RM2,000 untuk JKKK Tr Tawi dan RM3,000 untuk JKKK Tr Sibat, Merindun.

Tamat....






No comments:

Post a Comment