Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

29 April, 2010

Jangan sisihkan OKU - Datin Simba Nalang


Caption: PRIHATIN...Simba (tengah) bersama Lina (kanan) dan Ling (kiri) ketika bersama pelatih OKU pada sesi lawatan persendirian mengejut ke Pusat PDK Sri Aman hari ini.

SRI AMAN, Khamis (29 April) – Datin Simba anak Nalang iaitu isteri kepada Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden anak Hollis telah melakukan lawatan persendirian secara mengejut ke Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Sri Aman di sini hari ini.

Kedatangan beliau ke Pusat PDK Sri Aman di laluan Jalan Hospital berkenaan telah disambut oleh pengerusi pusat berkenaan iaitu Lina Andom bersama dengan kakitangan pusat yang lain pada jam 9 pagi hari ini.

Sebaik sahaja tiba, Simba telah meluangkan masa untuk melayan dan bermain bersama semua pelatih Orang Kurang Upaya (OKU) di pusat berkenaan bersama kakitangan PDK yang lain selama sejam.

Malahan beliau pada sesi lawatan persendirian secara mengejut ini turut meninjau dan mempelajari cara kakitangan pusat PDK Sri Aman dalam mengendalikan sesi masing-masing bersama pelatih OKU tersebut.

Beliau ketika ditemui pada lawatan persendirian itu menjelaskan bahawa adalah menjadi tanggungjawab bagi setiap ahli Badan Amal Isteri Menteri Sarawak (SEBATI) untuk melakukan aktiviti amal masing-masing dari masa ke semasa.

“Isteri menteri digalakkan untuk meninjau mana-mana pusat kebajikan dan pusat kanak-kanak di kawasan masing-masing dengan tujuan untuk merapatkan lagi diri terhadap masyarakat sekeliling mereka dari masa ke semasa.

“Ini untuk membuktikan diri bahawa isteri menteri sentiasa mendekatkan hati maisng-masing terhadap masyarakat sekeliling terutama sekali dalam perkara yang membabitkan hal ehwal kebajikan mereka selepas ini,” katanya.

Selain itu Simba juga berharap agar masyarakat normal tidak bertindak menyisihkan golongan OKU memandangkan mereka adalah golongan istimewa yang harus diberikan perhatian oleh masyarakat dari masa ke semasa.

“Lagipun sekarang adalah masanya bagi masyarakat di Sri Aman untuk mengetahui kewujudan PDK di sini dengan harapan agar mereka tidak perlu menghantar ahli keluarga yang tergolong dalam OKU ke pusat pemulihan di luar kawasan Sri Aman selepas ini,” katanya.

Hadir sama pada sesi lawatan persendirian secara mengejut ini ialah Ketua Pergerakan Wanita Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) cawangan Simanggang iaitu Ling Siew Hung.

Tamat.

No comments:

Post a Comment