Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

13 April, 2010

Jangan malu 'rapatkan diri' dengan bank - Shamshuddin



Caption: TERIMA KASIH...Shamshuddin (kanan) menerima cenderamata daripada Joe (kiri) sambil disaksikan isteri pengusaha terbabit iaitu Cathy Tagok pada majlis ringkas itu.

SRI AMAN, Selasa (14 April) - Peniaga Bumiputera tidak harus segan untuk merapatkan diri dengan mana-mana institusi perbankan dalam bandar Sri Aman kata Residen Bahagian Sri Aman, Abang Shamshuddin Abang Seruji.

Ini kerana institusi perbankan menurut beliau dapat menawarkan pelbagai nasihat kewangan dan bantuan kepada mana-mana penduduk Bumiputera yang ingin menceburi bidang perniagaan masing-masing selepas ini.

"Nasihat pengurusan kewangan dan perniagaan oleh pihak perbankan adalah amat penting bagi mana-mana individu Bumiputera yang mahu menceburi bidang perniagaan dalam apa jua bentuk jenis niaga itu.

"Justeru saya menasihatkan mereka agar merapati diri terlebih dahulu dengan pihak perbankan sebelum bertindak memulakan perniagaan masing-masing. Jangan segan silu jika mahu mendapatkan nasihat pengurusan perniagaan daripada mereka," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita sebaik sahaja selesai merasmikan pembukaan Kedai G & G Budget Shop di Lot 190 Blok 3, Wisma Hock Lee Heng, Jalan Sri Aman / Kuching baru-baru ini.

Selain itu Shamshuddin juga menasihatkan semua penduduk Bumiputera untuk memikirkan hasil faedah jangka panjang bagi setiap projek perniagaan yang bakal mereka laksanakan selepas ini dan bukannya hasil faedah jangka pendek.

"Saya mahu peniaga Bumiputera untuk melihat lebih jauh ke hadapan ketika berniaga. Ingin saya katakan kepada mereka bahawa ekonomi Bandar Sri Aman bakal berkembang lebih pesat dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang.

"Bijaklah merancang perniagaan anda. Jangan gentar untuk menceburi mana-mana bidang perniagaan yang dilihat mempunyai potensi untuk berkembang pesat dalam tempoh 10 tahun selepas ini," katanya sambil memuji pembukaan Kedai G & G Budget Shop.

Terdahulu Kedai G & G Budget Shop yang dirasmikan oleh beliau terletak di Lot 190 Blok 3, Wisma Hock Lee Heng, Jalan Sri Aman / Kuching, dan telah dibuka oleh Roni anak Joe Akang semenjak tiga minggu lepas.

G & G Budget Shop menawarkan pelbagai pakaian dan seluar berjenama seperti Nike, Adidas, Polo dan beberapa pakaian berjenama dari negara Jepun kepada semua golongan penduduk dalam bandar ini pada harga yang rendah serta berpatutan.

Tamat.



No comments:

Post a Comment