Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

12 April, 2010

Jangan lepas tangan hantar anak ke sekolah teknik - Nyalau


Caption: RASMI...Nyalau (tengah) memotong kek sebagai simbolik perasmian majlis berkenaan sambil disaksikan oleh Riji Nyanggau (dua kanan) dan tetamu jemputan yang lain.

LUBOK ANTU, Isnin (12 April) - Ibubapa tidak harus 'lepas tangan' sekiranya anak-anak gagal meneruskan pengajian akademik ke peringkat lebih tinggi selepas ini demikian menurut Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau anak Badak.

Menurut beliau terdapat sebilangan ibubapa yang bertindak membiarkan anak-anak tidak melakukan sebarang aktiviti di rumah masing-masing sehingga mereka terjebak dalam kancah gejala negatif selepas itu.

"Malahan anak-anak merokok di rumah juga mereka tidak ambil kisah. Mereka bersikap demikian apabila melihat anak-anak seolah-olah hilang masa depan apabila gagal untuk lulus cemerlang dalam bidang akademik peringkat sekolah menengah

"Sikap sebegini tidak betul kerana terdapat banyak institusi dalam negeri ini yang menawarkan pembelajaran yang berkaitan dengan bidang teknik dan kemahiran terhadap anak-anak yang gagal dalam bidang akademik sebelum itu," katanya.

Jika anak-anak dihantar ke institusi kemahiran selepas ini, Nyalau yakin bahawa peluang untuk mereka mencari pasaran kerja dalam pelbagai jenis industri akan kembali terbuka luas sebaik sahaja mereka tamat belajar.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Merarau (Makan Tengahari) 2010 Sekolah Kebangsaan (SK) Sbangki, Lubok Antu bertempat di dewan sekolah berkenaan baru-baru ini.

Selain itu kata Nyalau kerajaan kini memerlukan kerjasama daripada pihak ibu bapa untuk membantu melahirkan golongan modal insan dalam negara ini bagi tujuan pembangunan dari aspek politik, ekonomi dan sosial menjelang tahun 2020 kelak.

"Justeru saya meminta ibubapa untuk memandang perkara ini dengan lebih serius. Kita mahu sumbangan ibubapa dalam menjayakan pembangunan negara dalam tempoh 10 tahun akan datang," katanya.

Dalam majlis itu Nyalau telah mengumumkan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) sebanyak RM10,000 kepada Persatuaan Ibubapa dan Guru (PIBG) SK Sbangki.

Hadir dalam majlis itu ialah Pegawai Penerangan Parlimen JASA P.203 Lubok Antu, Geoffery Baja anak Ricky Maba, Guru Besar SK Sbangki, Riji Nyanggau, guru besar dari sekitar sekolah rendah dalam daerah Lubok Antu, ketua kaum di sini.

Tamat….

No comments:

Post a Comment