Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

14 April, 2010

Jangan kacau hak politik orang engkilili - Rayong


Caption: SELAMAT DATANG...Rayong (tengah) sambil diringi kakitangan kerajaan dan penduduk ketika tiba di rumah panjang Nanga Bunu untuk merasmikan program terbabit kelmarin.

ENGKILILI, Rabu (14 April) - Hak dan suara politik rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Engkilili harus dihormati oleh semua pihak terutama sekali oleh 'orang luar' dari kawasan daerah berkenaan selepas ini kata wakil rakyatnya Dr Johnnical Rayong anak Ngipa.

Justeru beliau melahirkan rasa kesal berhubung sikap sesetengah pihak yang sengaja menidakkan hak rakyat dan suara pemimpinan kanan Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) cawangan Engkilili berhubung isu pemilihan calon SUPP - Barisan Nasional (BN) untuk bertanding di kerusi DUN Engkilili pada pilihan raya negeri akan datang.

"Rakyat khususnya di kawasan DUN Engkilili berhak menyuarakan hak mereka untuk menentukan anak jati tempatan yang layak menjadi calon untuk bertanding di kerusi DUN ini pada pilihan raya negeri ini akan datang.

"Rakyat bersama pemimpin kanan SUPP cawangan Engkilili sebelum ini sudah pun mengatakan 'tidak!' kepada orang luar yang ingin menjadi calon bagi bertanding di kawasan ini pada pilihan raya negeri kelak. Justeru hormatilah hak dan pandangan mereka," menurut beliau.

ADUN Engkilili yang pro-BN terbabit berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Info Bestari anjuran Jabatan Penerangan Daerah Sri Aman dengan kerjasama Komuniti Bestari Nanga Bunu Skrang bertempat di Rumah Empading, Nanga Bunu Skrang, Engkilili kelmarin.

Selain itu Rayong pada ucapannya turut memberitahu bahawa beliau bukan bertindak menentang BN pada pilihan raya negeri 2001 dan 2006 yang lepas sebaliknya hanya bertindak menentang calon yang bukan berasal dari kawasan Engkilili ketika itu.

Sementara itu Tuai Rumah Nanga Bunu Skrang iaitu Empading pada majlis itu mengakui bahawa Rayong adalah seorang pemimpin yang mesra rakyat dan paling layak menjadi calon SUPP untuk bertanding di kerusi DUN Engkilili pada pilihan raya negeri akan datang.

"Beliau mempunyai ciri-ciri sebagai seorang wakil rakyat yang prihatin, merendah diri dan berbudi bahasa. Individu seperti inilah yang dicari-cari oleh rakyat Engkilili sebagai calon SUPP untuk pilihan raya negeri akan datang," katanya.

Hadir sama ialah Pegawai Penerangan dari Ibupejabat Jabatan Penerangan Malaysia Sarawak, Kuching, Koh Kumbong, Pegawai Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Parlimen P.203 Lubok Antu, Jeffery Maba anak Ricky Maba, para kakitangan kerajaan dan ketua kaum di sini.

Rayong menerusi majlis itu telah mengumumkan peruntukan bernilai RM5,000 kepada Komuniti Bestari Nanga Bunu, RM5,000 kepada JKKK Rumah Empading dan RM3,000 kepada biro wanita rumah panjang terbabit.

Beliau pada majlis itu turut mengumumkan bahawa kerajaan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM2 juta bagi membaikpulih jalan raya bermula dari Jalan Sri Aman / Betong hingga ke rumah panjang Nanga Bunu, Skrang.

Tamat.

No comments:

Post a Comment