Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

29 April, 2010

Ibubapa harus update ilmu terkini - Mong




Caption: UNTUK ALBUM...Mong (tengah) merakamkan gambar kenangan bersama tetamu jemputan sebaik sahaja tamat berkenaan baru-baru ini.


oleh Gloria Olin



PANTU, Khamis (29 April) - Ibubapa harus sentiasa mengemaskini ilmu pengetahuan dalam diri masing-masing bagi membolehkan mereka membantu anak-anak dalam mencapai keputusan akademik yang cemerlang di sekolah selepas ini.


Menteri Muda Pertanian (Penyelidikan dan Penyelarasan) Mong anak Dagang berkata ibubapa terutama sekali mereka yang hidup dalam era kegemilangan dunia Teknologi Komunikasi dan Maklumat (ICT) pada masa sekarang perlu berbuat demikian mulai masa sekarang.

“Ibubapa zaman sekarang harus memperlengkapi diri masing-masing dengan ilmu pengetahuan yang boleh mereka perolehi menerusi bacaan buku atau ketika melayari internet.

“Ibubapa perlu selangkah lebih ke hadapan berbanding anak-anak jika mahu melihat mereka berjaya dalam bidang akademik kecuali jika matapelajaran itu di luar bidang pengetahuan diri masing-masing,” katanya.

Mong yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan ketika berucap merasmikan Kem Motivasi 2010 bertempat di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina Chung Hua Bangkong dalam daerah kecil Pantu, Sri Aman pada hari Selasa lalu.

Selain itu beliau juga mahu setiap persatuan dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dalam kawasan Pantu untuk memanfaatkan sebaik mungkin peruntukan wang yang disalurkan oleh kerajaan bagi tujuan pendidikan anak-anak selepas ini.

“Justeru saya berharap agar persatuan dan JKKK dapat menyumbang bakti masing-masing terhadap kerajaan dengan membantu melahirkan golongan modal insan berkualiti untuk pembangunan masa depan negara selepas ini,” menurut beliau.

Hadir sama ialah Ahli Parlimen Sri Aman, Masir anak Kujat, wakil Pegawai Pelajaran Daerah (PPD) Sri Aman, Goh Kaw Sze, Ketua Unit Pengurusan Pembangunan Manusia PDD Sri Aman, Mohd Yusof Lugom, Pegawai Teknologi Pendidikan Bahagian Sri Aman, Menjang Niah, para guru besar, guru dan kakitangan sekolah berkenaan.

Mong pada majlis itu mengumumkan peruntukan bernilai RM5,000 kepada Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) SJK Chung Hua Bangkong. Masir menerusi wakilnya juga turut menyampaikan cek bantuan bernilai RM5,000 kepada PIBG sekolah berkenaan.

Kem Motivasi 2010 bertempat di SJK Chung Hua Bangkong ini membabitkan murid Tahun 6 dari lima buah sekolah jenis kebangsaan dalam Bahagian Sri Aman antaranya ialah SJK Chung Hua Pantu, SJK Chung Hua Simanggang, SJK Chung Hua Lingga dan SJK Chung Hua Bangkong.

Tamat.

No comments:

Post a Comment