Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

26 April, 2010

Galaticos juara Futsal Piala Bank Rakyat


Caption: UNTUK ALBUM...Shamshuddin (tengah kanan) bersama Rahman (tengah kiri) ketika merakamkan gambar kenangan bersama pasukan Pemuda PBB (baju biru) dan Galaticos (baju merah) sebelum bermulanya perlawanan akhir di sini kelmarin.

-26 April

Pasukan Galaticos telah menempa sejarah buat pertama kalinya untuk tahun ini apabila berjaya menumbangkan pasukan Pemuda PBB untuk muncul juara bagi Kejohanan Futsal Piala Bank Rakyat Sri Aman 2010 malam tadi.

Galaticos muncul juara setelah berjaya menumbangkan pasukan Pemuda PBB dengan jaringan penalti 5-4 setelah kedua-dua pasukan terikat 1-1 pada penghujung saingan selama 20 minit perlawanan akhir Kejohanan Futsal Piala Bank Rakyat Sri Aman 2010 di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Sri Aman terbabit.

Kemenangan ini membolehkan pasukan Galaticos membawa pulang hadiah berupa piala kejuaraan, pingat dan hadiah wang tunai bernilai RM500 manakala pasukan Pemuda PBB pula membawa pulang hadiah berupa piala naib juara, pingat dan hadiah wang tunai bernilai RM300 pada pertandingan itu.

Sementara itu pasukan pilihan iaitu Zaimie 2010 berjaya menduduki tempat ke-3 dalam kejohanan ini setelah berjaya menewaskan pasukan Evolution 4 dengan jaringan gol 2-0 dalam perlawanan merebut kedudukan ke-3 dan ke-4 pada kejohanan ini.

Pasukan Zaimie 2010 berjaya membawa pulang hadiah berupa wang tunai bernilai RM200 beserta dengan piala kedudukan tempat ke-3 dan pingat untuk setiap anggota pasukan pada kejohanan itu.

Upacara sepak mula dan penyampaian hadiah kepada pasukan pemenang telah disempurnakan oleh Residen Bahagian Sri Aman, Abang Shamshuddin Abang Seruji sambil disaksikan oleh wakil Pengurus Bank Rakyat cawangan Sri Aman, Abdul Rahman Reduan dan kakitangan Bank Rakyat cawangan Sri Aman yang lain.

Terdahulu sejumlah 16 buah pasukan dari 8 buah kumpulan yang bertanding dalam Kejohanan Futsal Piala Bank Rakyat Sri Aman 2010 berjaya mengesahkan kelayakan masing-masing perlawanan pusingan ke-2 pada pagi 25 April kelmarin.

16 buah pasukan berkenaan adalah Pemuda PBB, PJ Zone, AY 17, Golden Generation, LAFA A, Mospeda FC, Zaimie 2010, Twenty's, Evolution 4, KSK Komuniti Lingga, Pridep B, Medical Team, Mat United, Tiang Peringat, Galaticos dan RMBSA.

Daripada kesemua jumlah pasukan yang berjaya melayakkan diri ke perlawanan pusingan ke-2 ini, lapan daripadanya telah berjaya melangkah ke perlawanan suku akhir iaitu Pemuda PBB, AY 17, LAFA A, Zaimie 2010, Evolution 4, Medical Team, Mat United dan Galaticos.

Pada perlawanan suku akhir ini, Pasukan Pemuda PBB menewaskan AY 17 dengan jaringan gol 1-0, Zaimie 2010 menewaskan LAFA A 4-3, Evolution 4 menewaskan Medical Team 2-0 dan pasukan Galaticos menewaskan Mat United 2-1.

Pasukan Galaticos berjaya melangkah ke perlawanan akhir kejohanan ini setelah berjaya menumbangkan pasukan Evolution 4 dengan jaringan 2-0 pada perlawanan separuh akhir sebelum itu manakala pasukan Pemuda PBB pula menewaskan pasukan Zaimie 2010 menerusi sepakan penalti dengan jaringan gol 3-2.

Dianggarkan sekitar 400 orang penduduk dari sekitar Bandar Sri Aman hadir bagi menyaksikan Kejohanan Futsal Piala Bank Rakyat Sri Aman 2010 yang berlangsung di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Sri Aman bermula 23 April hingga 25 April lalu.

Tamat.

No comments:

Post a Comment