Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

11 April, 2010

Faktor kadar peluang menang tentukan nasib Rayong - Harden

SRI AMAN, Sabtu (10 April) – Faktor ‘kadar peluang untuk menang’ akan menentukan sama ada Dr Johnnical Rayong anak Ngipa layak untuk mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Engkilili dengan menggunakan tiket Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) pada pilihan raya negeri akan datang.

Justeru pihak Majlis Tertinggi (MT) SUPP akan melihat faktor terbabit sebelum bertindak memutuskan perkara terbabit pada mesyuarat MT parti berkenaan menerusi tarikh yang akan ditetapkan kelak.

Rayong, 48, memenangi kerusi DUN Engkilili pada pilihan raya negeri 2006 dengan menggunakan tiket Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) setelah menewaskan calon SUPP – Barisan Nasional, Johnatan Krai Pilo.

ADUN Engkilili itu kemudiannya telah mengistyiharkan diri sebagai Rakan BN sehingga timbulnya spekulasi yang mendakwa bahawa beliau bakal mengibar bendera SUPP selaku calon BN untuk bertanding di kerusi terbabit menjelang pilihan raya negeri akan datang.

“Mesyuarat MT SUPP sepatutnya diadakan pada hari ini untuk membincangkan isu berkenaan. Bagaimanapun Naib Presiden SUPP, Datuk Robert Lau Hoi Chew telah meninggal dunia kelmarin sehingga menyebabkan mesyuarat terbabit dibatalkan.

“Oleh yang demikian isu terbabit akan dibincangkan menerusi mesyuarat MT SUPP pada tarikh yang ditetapkan semula selepas ini nanti,” kata Timbalan Setiausaha Agung SUPP, Datuk Francis Harden anak Hollis ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Senam Cergas Komuniti Hujung Minggu 2010 di padang lama KPSU Sri Aman hari ini.

Beliau juga mengakui bahawa Rayong merupakan seorang wakil rakyat yang pro BN walaupun kedudukannya untuk menyertai SUPP bagi menghadapi pilihan raya negeri ini masih belum diketahui hingga sekarang.

Sementara itu ketika diminta mengulas mengenai kematian mendiang Datuk Robert Lau kelmarin, Harden yang juga Menteri Muda Kemajuan Tanah menyatakan bahawa pemergian beliau merupakan kehilangan cukup besar untuk penduduk di kawasan Parlimen Bandar Sibu.

“Mendiang Lau merupakan seorang pemimpin yang rajin bekerja. Kehilangannya kelmarin merupakan satu tamparan hebat untuk pihak SUPP dan juga penduduk di Bandar Sibu,” katanya.

Terdahulu Harden yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang telah merasmikan Program Senam Cergas Komuniti Hujung Minggu 2010 anjuran Pejabat Belia dan Sukan Sri Aman dengan kerjasama Kelab Sukan Komuniti Simanggang yang disertai seramai 1,500 orang penduduk pada jam 7.45 pagi hari ini.

Hadir sama ialah Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Sri Aman, Shyennier Jean Serit, Pegawai Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Parlimen Sri Aman, Whelton Lumpoi, Pegawai JASA Parlimen Lubok Antu, Jeoffery Baja Ricky Maba, Pengetua SMK Simanggang, Ibrahim, para ketua kaum dan penduduk di bandar ini.

Tamat.

No comments:

Post a Comment