Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

07 April, 2010

Banjir di Debak perlu perhatian


Caption: PERLU PERHATIAN...Gambar menunjukkan banjir yang melanda kawasan kediaman seorang penduduk di Kampung Melayu Debak, Betong baru-baru ini.

DEBAK, Selasa (7 April) – Ketua Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) N.30 Saribas, Mohammad Razi Sitam meminta jasa baik pihak berkuasa tempatan untuk menyelesaikan masalah banjir yang sering melanda kawasan Debak sebelum ini.

Terbaru menurut beliau hujan lebat yang melanda kawasan Debak pada hari Sabtu lepas telah menyebabkan Kampung Melayu Debak mencakupi Babu, Bungey dan Lalang dilanda banjir kilat dengan paras air bah mencecah paras dua kaki pada hari berkenaan.

Masalah kejadian banjir yang sering melanda Kampung Melayu Debak sebelum ini menurut Razi adalah disebabkan oleh gabungan air pasang besar yang berlaku di Sungai Rimbas yang berhampiran ditambahi pula oleh faktor hujan lebat yang turun pada hari itu.

"Akibat hujan lebat yang bermula pada hari Jumaat dan Sabtu lepas, air banjir di Kampung Melayu Debak mencakupi Babu, Bungey dan Lalang telah naik mencecah paras dua kaki bermula dari jam 11 malam (Sabtu) iaitu ketika penduduk sedang nyenyak tidur.

"Kejadian air bah yang mencecah paras dua kaki ini telah menyebabkan penduduk Kampung Melayu Debak terkejut sebelum air bah berkenaan surut sepenuhnya pada jam 10 pagi pada hari Ahad lepas," menurut beliau.

Kejadian banjir kilat ini kata Razi menyebabkan para penduduk Kampung Melayu Debak gagal menyelamatkan harta benda masing-masing kerana hanya menyedari air bah naik dalam kediaman masing-masing pada waktu keesokan paginya.

Justeru beliau berharap agar pihak kerajaan dapat mempercepatkan cadangan pembinaan projek tebatan banjir sepanjang Sungai Rimbas yang menempatkan tiga buah kampung tersebut demi mengurangkan masalah banjir akibat air sungai pasang besar dan hujan lebat selepas ini.

"Saya amat mengalu-alukan cadangan kerajaan berhubung pelan terbabit sebelum ini. Bagaimanapun saya berharap agar kerajaan dapat membina sistem perparitan di belakang Kampung Melayu Debak untuk mengatasi masalah limpahan air yang datang dari kawasan darat ketika berlangsungnya hujan lebat di kawasan ini," katanya.

Razi turut menambah bahawa sistem parit yang sedia ada perlu dibaiki dengan menyediakan banyak lagi parit berkonkrit yang lebih dalam di dalam kawasan kampung Babu, Bungey dan Lalang untuk kesan jangka masa panjang.

Tamat.

No comments:

Post a Comment