Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

29 April, 2010

Awang Raweng terima elaun Kerajaan Malaysia


Caption: PENGHARGAAN...Shamshuddin (kiri) sedang menyampaikan elaun tertangguh kepada Awang (kanan) sambil disaksikan oleh Monday (lima kiri), Felicia (dua kanan), tetamu jemputan dan penerima pada majlis itu.

SRI AMAN, Isnin (3 Mei) – Jabatan Hal Ehwal Kebajikan Veteran Keselamatan Sarawak telah menyampaikan elaun tertangguh, elaun pencen dan bantuan kebajikan kepada tiga orang penerima menerusi majlis yang berlangsung di Bilik Mesyuarat, Pejabat Residen Sri Aman hari ini.

Tiga orang penerima berkenaan ialah Awang anak Raweng dari Nanga Skrang, Ika anak Maweng dari Gua Sukat dan Istella anak Miaw, balu kepada mendiang Backer Noda Bali.

Penerima pertama iaitu Awang anak Raweng, 81, telah menerima elaun tertunggak daripada Kerajaan Malaysia yang telah berkuatkuasa pada 1 Julai 2009. Beliau telah menerima bayaran elaun bulanan sebanyak RM2,000 berkuatkuasa pada tarikh berkenaan.

Elaun terbabit adalah merupakan pengiktirafan Kerajaan Malaysia terhadap sumbangan beliau yang juga telah dianugerahkan pingat George Cross oleh Kerajaan British pada awal tahun 1960 dahulu ketika usaha menentang keganasan komunis di Kluang, Johor pada tahun 1951.

Dalam kejadian itu Awang Raweng mengalami kecederaan parah di bahagian paha kiri dan lengan kanan ketika bertempur dengan pengganas komunis di Kluang, Johor bersama dua orang lagi anggota pasukan Tentera Diraja British.

Manakala itu penerima kedua pula ialah Ika anak Maweng dari Kampung Gua Sukat, Sri Aman. Beliau telah menerima bantuan kebajikan pada majlis itu di atas jasa beliau ketika berkhidmat sebagai Penjejak Hutan (Jungle Tracker) pada era darurat dahulu.

Seterusnya Istella anak Miau telah menerima bantuan berupa elaun pencen bulanan daripada Jabatan Hal Ehwal Kebajikan Veteran Keselamatan Sarawak demi mengenang jasa mendiang suaminya Backer Noda Bali yang mati dalam perkhidmatan ketika berkhidmat untuk Angkatan Tentera Malaysia.

Residen Bahagian Sri Aman telah diberikan penghormatan untuk menyampaikan sumbangan berkenaan kepada para penerima pada majlis yang berlangsung di bilik mesyuarat, pejabat beliau bermula jam 10 pagi.

Hadir sama ialah Pengarah Jabatan Hal Ehwal Kebajikan Veteran Keselamatan Sarawak, Mejar Monday Juhit, Timbalan Residen Sri Aman, Felicia Tan, Temenggung Kanang anak Langkau, Pengerusi Persatuan Bekas Tentera Malaysia Sri Aman, Nalang Selingau, PWI (Bersara) Beliang Bali dan para penerima elaun yang lain.

Tamat.


No comments:

Post a Comment