Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

18 April, 2010

Awang Kelana berbakat dalam bidang hiburan


Caption: BERGAYA...Nama Awang Kelana sering disebut-sebut oleh pengemar muzik dalam Bandar Sri Aman disebabkan oleh kebolehan nyanyian dan pengalaman mengendalikan pertandingan hiburan sebelum ini.
17 April

Nama Awang Kelana Awang Mahyuddin semestinya sudah tidak asing lagi dikalangan penduduk yang sering menghadiri majlis rasmi atau pertandingan bercorak hiburan dalam Bandar Sri Aman selama ini.

Ini kerana Awang Kelana merupakan salah seorang pengacara dan pengendali rancangan yang paling popular dan dikenali ramai penduduk untuk sesebuah pertandingan bercorak hiburan dalam bandar ini seperti Battle Of The Band, Shuffle dan Pertandingan Karaoke.

Namun begitu disebalik kebolehan selaku pengacara aktiviti hiburan dalam bandar ini, anak jati kelahiran Bandar Sri Aman sebenarnya mempunyai bakat yang cukup besar dalam bidang nyanyian sebelum ini.

Ia terbukti apabila Awang pernah memenangi pertandingan nyanyian kategori solo di bandar ini disamping pernah mewakili Bahagian Sri Aman ke pertandingan nyanyian solo bagi temasya Pesta Sukan Dan Kebudayaan Pegawai Pendidikan (PSKPP) pada tahun lepas.

Malahan beliau juga turut menubuhkan kumpulan kugiran Bujang Senang yang sering mengadakan persembahan muzik pada sambutan pesta ria dan menjadi penyanyi utama untuk kumpulan berkenaan semenjak tahun 2006 dahulu.

"Pencapaian terbaik Kumpulan Bujang Senang ialah pernah muncul juara bagi Pertandingan Battle Of The Band di Bungin, Spaoh dan muncul naib juara bagi Pertandingan Battle Of The Band di Betong pada tahun lepas," katanya ketika ditemui Utusan Sarawak hari ini.

Minat Awang yang mendalam terhadap bidang muzik semenjak di bangku sekolah lagi menyebabkan beliau cukup aktif menganjurkan mana-mana pertandingan bercorak hiburan terutama sekali Pertandingan The Battle Of The Band di bandar ini.

Terbaru sekali beliau telah pun diberikan mandat oleh Pejabat Perpaduan dan Integrasi Nasional Bahagian Sri Aman untuk menguruskan Pertandingan Ryhtm Of 1Malaysia bersempena dengan sambutan Pesta Benak Sri Aman 2010 pada 28 April hingga 2 Mei ini nanti.

"Saya juga mempunyai pengalaman dalam menguruskan Pertandingan Polinemus Muzik Festival bersempena dengan sambutan Pesta Ikan Bulu yang diadakan dalam bandar ini pada tahun 2008 dan 2009 tahun lepas.

"Justeru saya akan menggunakan pengalaman ini untuk mengurus dan menjadikan Pertandingan Ryhtm Of 1Malaysia sebagai acara yang terbaik ketika berlangsungnya Pesta Benak Sri Aman 2010 pada penghujung bulan ini," katanya.

Awang yang bakal mengadakan persembahan nyanyian solo pada Pertandingan Ryhtm Of 1Malaysia itu juga memiliki Studio Jamming yang diberi nama Kelana Studio untuk tujuan sewaan mana-mana kumpulan kugiran dalam bandar ini di Srijaya Park.

"Harapan saya ialah agar dapat membawa kumpulan Bujang Senang untuk menerbitkan sebuah album lagu di masa akan datang," katanya sambil menambah bahawa kebolehan dalam diri tidak boleh disia-siakan selagi ia dapat dimanfaatkan.

Tamat.

No comments:

Post a Comment