Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

25 March, 2010

Sri Aman belum perlukan Balai Polis Bergerak - Jusoh


Caption: SELAMAT ULANGTAHUN...Jusoh (tengah) sambil diapit oleh Simoi (kanan) dan Wahbi (kiri) ketika memotong kek sempena ulangtahun Ke-203 Peringatan Hari Polis di IPD Sri Aman hari ini.

SRI AMAN, Khamis (25 Mac) – Sri Aman belum berada di peringkat ‘terdesak’ untuk memerlukan perkhidmatan Balai Polis Bergerak (BPB) seperti yang telah diluluskan di bawah inisiatif Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) sebelum ini.

Terdahulu NKRA telah meluluskan penggunaan sejumlah 30 buah bas mini dan 60 buah van bagi tujuan perkhidmatan BPB di kawasan-kawasan yang ‘panas’ dari segi kegiatan jenayah dalam negara ini.

Ketua Polis Daerah Sri Aman, DSP Mat Jusoh bin Muhammad berkata perkhidmatan BPB masih belum diperlukan memandangkan Sri Aman masih mencatat kadar indeks jenayah yang amat rendah pada masa sekarang.

“Kita percaya bahawa perkhidmatan BPB akan dihantar ke Sri Aman pada masa akan datang. Bagaimanapun buat masa kini kawasan Sri Aman masih mencatatkan indeks kadar jenayah yang masih rendah.

“Justeru pihak Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Sri Aman masih belum terdesak untuk mendapatkan perkhidmatan BPB ini buat masa sekarang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Utusan Sarawak sebaik sahaja selesai Majlis Perhimpunan Memperbaharui Ikrar sempena dengan Peringatan Hari Polis Ke-203 bertempat di Padang Kawad, IPD Sri Aman hari ini.

Sementara itu Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa bin Tan Sri Haji Hassan menerusi perutusannya yang dibacakan oleh Jusoh pada perhimpunan terbabit menyeru semua warga polis untuk ‘bersikap berani kerana benar, berintegriti demi jati diri’ mulai sekarang.

“Ia penting supaya kita dapat bergerak keluar dari ‘kemuraman awam mendung’ persepsi negatif rakyat disamping mempamerkan keutuhan diri yang berkualiti tinggi di masa akan datang,” katanya.

Hadir sama ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Hajah Simoi Haji Peri, ADUN Saribas, Dr Haji Wahbi Junaidi, Majistret Sri Aman, Zulhairil Sulaiman, para pegawai kanan, anggota pangkat rendah dan kakitangan awam IPD Sri Aman.

Sejumlah 400 orang anggota polis, anggota polis bantuan SESCO dan kadet polis dari beberapa buah sekolah dalam bandar ini menghadiri Majlis Perhimpunan Memperbaharui Ikrar sempena dengan Peringatan Hari Polis Ke-203 di Padang Kawad, IPD Sri Aman bermula jam 7.45 pagi hari ini.

Tamat.

No comments:

Post a Comment