Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

09 March, 2010

Serius tubuhkan kelab, jangan hangat tahi ayam nasihat Harden


Caption: RASMI...Harden sedang menandatangani plak perasmian kelab sambil disaksikan oleh Zulhairil (kanan sekali), Zaidi (dua kiri) dan Osman (tiga kiri) ketika berlangsungnya majlis malam tadi.

SRI AMAN, Selasa (9 Mac) – Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden anak Hollis menasihatkan penduduk agar bersikap serius ketika menubuhkan kelab atau persatuan di bandar Sri Aman ini.

Menurut beliau terdapat pihak yang bertindak menubuhkan kelab atau persatuan secara ‘hangat tahi ayam’ dan seterusnya hilang khabar berita sebaik sahaja sudah dirasmikan selepas itu.

“Kita tidak mahu perkara macam ini berlaku. Anda menubuh lalu merasmikan kelab dan selepas itu ‘menghilang’ secara tiba-tiba tanpa diketahui sebab munasabah berlakunya perkara terbabit.

“Sayugia diingatkan bahawa kerajaan tidak mahu mempersia-siakan bantuan mereka terhadap kelab yang baru ditubuh dan seterusnya tidak serius memperkembangkan fungsi kelab masing-masing selepas itu,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Perasmian Kelab Gimnasium Rakyat Sri Aman bertempat di Rumah MAKSAK Sri Aman malam tadi.

Selain itu Harden juga mahu penduduk tidak terlalu berkira mengenai soal kewangan sekiranya perkara yang ingin mereka laksana berkaitan dengan soal kesihatan serta kecergasaan diri masing-masing.

“Misalannya bayaran kemasukan ke Pusat Gimnasium Rakyat Sri Aman ini adalah RM1 seorang tanpa had masa namun ada yang terlalu berkira kerana ia membabitkan wang bayaran berkenaan.

“RM1 adalah untuk kesihatan anda. Jika penduduk tidak berkira menggunakan duit untuk tujuan yang memberikan impak negatif terhadap kesihatan diri mengapa pula mereka berkira mengenai soal ini (kesihatan)? Justeru saya meminta penduduk mengubah pemikiran masing-masing mengenai perkara tersebut selepas ini,” katanya.

Hadir sama ialah wakil Pegawai Pejabat Belia dan Sukan Sri Aman, Osman Rosli, wakil Residen Bahagian Sri Aman, Zaidi Sarkawi, Timbalan Pengerusi Majlis Daerah Sri Aman, Jimmy Chong dan Pengerusi Kelab Gimnasium Rakyat Sri Aman, Zulhairil Sulaiman.

Harden pada majlis berkenaan telah mengumumkan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar bagi tahun 2010 bernilai RM10,000 kepada Kelab Gimnasium Rakyat Sri Aman.

Majlis yang dihadiri oleh 40 orang pengguna tetap pusat kemudahan berkenaan telah dimeriahkan lagi dengan majlis persembahan video oleh Kelab Gimnasium Rakyat Sri Aman, persembahan nyanyian lagu karaoke dan jamuan makan malam.

Kelab Gimnasium Rakyat Sri Aman yang berada di seliaan dan naungan Kementerian Belia dan Sukan telah memulakan operasinya secara aktif semenjak berdaftar dengan pihak Badan Pertubuhan Berdaftar (ROS) pada 10 Februari 2009.

Tamat.

No comments:

Post a Comment