Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

28 March, 2010

selesai pertelingkahan tanah sebelum join projek tanah kerajaan - Harden


Caption: ADAT...Harden (tengah) bersama (dari kanan) Nyalau, Nyarok, Rayong dan Sameon ketika sedang menyempurnakan upacara miring di Rumah Pawi kelmarin.

ENGKILILI, Sabtu (27 mac) – Pemilik Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) harus menyelesaikan persengketaan berhubung hal tanah masing-masing sebelum bersetuju menyertai program pembangunan tanah yang akan dilaksana oleh kerajaan selepas ini.

Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden anak Hollis berkata terdapat beberapa kes penangguhan program pembangunan tanah di sesuatu kawasan dalam negeri ini berhubung persengketaan yang berlaku dikalangan pemilik NCR sebelum itu.

“Projek pembangunan tanah bukan sahaja membabitkan projek pertanian secara komersial di kawasan tanah berkenaan malahan turut membabitkan kerja penyediaan kemudahan jalan raya dan lain-lain infrastruktur di situ.

“Jika ada pemilik tanah NCR untuk salah satu kawasan tanah dalam lingkungan projek berkenaan bersengketa dengan pemilik tanah yang lain maka program terbabit tidak akan berjalan dengan lancar. Lebih malang lagi ia mungkin akan terbatalkan,” menurut beliau.

Beliau yang juga Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Negeri Sarawak berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Berandau / Forum Penanaman Getah di Rumah Pawi anak Lamoh, Danau dalam daerah kecil Engkililili kelmarin.

Harden yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang mahu semua pemilik tanah NCR sebulat suara untuk setuju sebelum menyertai program pembangunan tanah yang mahu dilaksakana oleh kerajaan selepas ini.

“Lagipun pemilik tanah NCR harus sedar bahawa program pembangunan tanah di kawasan masing-masing akan memberi faedah pembangunan terhadap penduduk dalam kawasan masing-masing.

“Justeru lakukan ini demi kebaikan anak-anak anda di masa akan datang,” katanya sambil menambah bahawa pembabitan penduduk dalam program pembangunan tanah akan membolehkan tanah NCR masing-masing didokumentasi oleh kerajaan selepas itu.

Harden menerusi majlis berkenaan telah mengumumkan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) bernilai RM3,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan (JKKK) Rumah Pawi manakala RM3,000 untuk biro wanita rumah panjang berkenaan.

Hadir sama ialah Menteri Muda Permodenan Pertanian (Pertubuhan Peladang dan Koperasi), Datuk Peter Nyarok Entrie, Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau Badak, ADUN Batang Ai, Malcom Mussen Lamoh, ADUN Engkilili, Dr Johnnical Rayong Ngipa, Setiausaha Tetap Kementerian Kemajuan Tanah, Datu Jaul Sameon dan pemangku Pengurus Besar PPK Sarawak, Peter Umak.

Tamat

No comments:

Post a Comment