Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

09 March, 2010

Sambutan Hari Belia dan Beliawanis di Kampung Hulu Baru Betong meriah


Caption: MULA...Sebahagian daripada para peserta yang mengambil bahagian dalam acara terbabit.

BETONG, Selasa (9 Mac) – Acara sukaneka yang dianjurkan bersempena dengan sambutan Hari Belia dan Beliawanis Kampung Baru Hulu Betong 2010 telah dimeriahkan dengan kehadiran lebih 200 penduduk baru-baru ini.

Pengerusi pengelola program, Wan Asmat Wan Ali ketika ditemui menjelaskan kesemua penduduk yang terlibat telah sama-sama menjayakan sejumlah lapan acara sukan yang dipertandingkan dalam acara sukaneka terbabit.

“Lapan buah acara yang dipertandingkan dalam acara sukaneka ini ialah isi air dalam botol, mencari syiling dalam tepung, menganyam ketupat, bowling buah kelapa, tikam ping pong, sepak raga bulatan dan baling telur.

“Kesemua lapan buah acara yang terkandung dalam acara sukaneka ini bertujuan untuk memeriahkan lagi suasana sambutan Hari Belia dan Beliawanis Kampung Baru Hulu Betong 2010,” katanya.

Selain itu beliau turut yakin bahawa pertandingan ini mampu menghimpunkan semua golongan belia dan beliawanis yang berasal dari Kampung Baru Hulu Betong dan mengeratkan hubungan di antara mereka selepas ini.

Malahan acara ini yang terkandung dalam Hari Belia dan Beliawanis Kampung Baru Hulu Betong 2010 ini menurut beliau secara tidak langsung dapat menyedarkan diri masing-masing tentang betapa pentingnya peranan mereka dalam membangunkan kampung, negeri dan negara di masa akan datang.

“Kita mahu belia dan beliawanis kampung untuk menyemai azam dan semangat dalam diri masing-masing bagi membantu kerajaan menjayakan pembangunan negara selepas ini,” katanya.

Terdahulu sejumlah 60 orang belia dan beliawanis Kampung Baru Hulu Betong melibatkan diri dalam sambutan Hari Belia dan Beliawanis Kampung Baru Hulu Betong 2010 bertempat di perkarangan Surau Darul Taqwa Kampung Baru Hulu Betong berkenaan.

Majlis pembukaan sambutan Hari Belia dan Beliawanis ini telah disempurnakan oleh Pegawai Tadbir dari Pejabat Residen Betong, Rohana Sazeli manakala majlis penutupannya pula telah disempurnakan oleh Ketua Kampung Baru Hulu Betong, Wan Ahmad Wan Chiee.

Turut berlangsung pada sambutan Hari Belia dan Beliawanis Kampung Baru Hulu Betong 2010 ialah acara senamrobik dan larian kesihatan. Hadir sama ialah wakil Ibupejabat Polis Daerah Betong, Chif Inspektor Abdul Halim dan Pengerusi JKKK Kampung Hulu Baru Betong, Wan Boehana Haji Omar.

Tamat.

No comments:

Post a Comment