Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

28 March, 2010

PTK bakal transformasikan Sarawak


Caption: RASMI...Uggah (tengah) sambil diapit oleh Lawson (dua kanan) dan tetamu jemputan khas yang lain ketika menyempurnakan upacara memotong kek sempena majlis itu hari ini.

DEBAK, Ahad (28 Mac) – Perlaksanaan Program Transformasi Kerajaan (PTK) dijangka mampu mengimbangi tahap pembangunan di antara Sarawak dengan lain-lain negeri di Semenanjung Malaysia selepas ini.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Dato Sri Douglas Uggah anak Embas berkata perlaksanaan PTK yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Najib Tun Razaj juga tepat pada masanya untuk merapatkan lagi jurang pembangunan antara penduduk Bumiputera dan Bukan Bumiputera dalam negara ini.

“Banyak faedah hasil dari program atau projek pembangunan yang dilaksanakan oleh kerajaan tidak sampai secara menyeluruh kepada penduduk khususnya Bumiputera sebelum ini.

“Justeru PTK diperkenal untuk membolehkan jabatan dan agensi kerajaan bekerja lebih pantas berbanding had masa sebelumnya untuk melaksana dan menyelesaikan segala masalah pembangunan penduduk selepas ini,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Betong berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Merarau 2010 anjuran Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan (JKKK) dan Biro Wanita Babu Tengah dalam kawasan daerah kecil Debak, Betong hari ini.

Selain itu pengenalan PTK menurut Uggah juga secara tidak langsung membuktikan bahawa pelaksanaan konsep 1Malaysia sebelum ini bukanlah hanya sekadar retorik politik oleh Najib.

“PTK seperti mana juga seperti perlaksanaan KPI dan NKRA menunjukkan komitmen penuh Perdana Menteri dalam mewujudkan proses pembangunan lebih menyeluruh untuk semua penduduk berbilang kaum dalam negara ini selaras dengan perlaksanaan konsep 1Malaysia.

“Ini adalah merupakan usaha gigih pihak kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk mempertingkatkan taraf hidup ke arah lebih tinggi bag semua penduduk dalam Malaysia pada masa akan datang,” katanya.

Uggah menerusi majlis itu mengumumkan peruntukan bernilai RM50,000 untuk menyelesaikan masalah tanah runtuh yang berlaku berhampiran dengan Rumah Panjang Babu Tengah, Debak sebelum itu.

Beliau juga turut mengumumkan peruntukan bernilai RM5,000 untuk JKKK Rumah Jawat anak Danggat. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban, Robert Lawson Chuat yang turut hadir pada majlis berkenaan juga mengumumkan peruntukan bernilai RM5,000 kepada JKKK rumah panjang berkenaan.

Hadir sama ialah Pegawai Daerah Betong, Friday Belik, Penolong Pengarah Jabatan Pertanian Bahagian Betong, Wilson Entebang, Setiausaha Politik kepada Uggah iaitu Dr Richard Rapu,, Tuai Rumah Babu Tengah, Jawat Danggat, Pengerusi JKKK Babu Tengah, Jubin Alap, para pegawai kerajaan dan ketua kaum dari kawasan Betong.

Tamat.

No comments:

Post a Comment