Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

06 March, 2010

Pelajar perlu bersedia hadapi cabaran global - Rahman


Caption: FOKUS...Rahman (dua kanan) bersama (dari kiri sekali) Hashim, Ibrahim dan Engkamat ketika mendengar ceramah yang disampaikan pada program terbabit hari ini.

SRI AMAN, Sabtu (6 Mac) – Para pelajar perlu menguasai ilmu pengetahuan serta kemahiran yang bersifat global demi membolehkan mereka bersaing dalam dunia yang kian mencabar pada masa akan datang.

Penolong Pegawai Pelajaran Daerah Sri Aman, Haji Abdul Rahman Muhiyuddin berkata ledakan Teknologi Komunikasi dan Maklumat (ICT) pada masa sekarang misalannya menuntut semua pelajar untuk tidak ketinggalan menguasai teknologi terbabit selepas ini.

“Setiap institusi pendidikan di semua peringkat telah dijadikan sebagai tapak utama untuk melahirkan individu yang mampu menjadi peneraju masa depan negara seiring dengan tuntutan dunia global dan aspirasi negara selepas ini.

"Justeru Wawasan 2020 telah menggariskan bahawa untuk mencapai taraf negara maju, negara perlu memiliki tenaga kerja mahir yang akan menjadi daya penggerak dan pencetus kepada kemajuan negara bermula 10 tahun akan datang,: katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap semasa merasmikan Seminar Keibubapaan dan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Simanggang bertempat di Dewan Rafflesia, SMK Simanggang hari ini.

Selain itu, para pelajar juga katanya perlu diterapkan dengan unsur spritual, nilai agama, etika dan norma kehidupan masyarakat agar tidak mudah terjebak dengan masalah sosial yang boleh menjejaskan nama baik diri, keluarga, masyarakat dan negara.

“Ia demi mewujudkan keseimbangan dalam diri setiap pelajar selepas ini. Kecemerlangan dalam bidang akademik juga perlu diterapkan dengan kesemua nilai berkenaan dalam setiap pelajar demi membentuk jati diri masing-masing selepas ini,” katanya.

Hadir sama ialah Pengetua Sekolah, Haji Ibrahim Jamain, Penolong Kanan Sekolah, Engkamat Slapok, Yang di-Pertua PIBG, Abang Mohamad Hashim Abang Ahmad Masuine, serta ibu bapa pelajar yang lain.

Sejumlah 402 orang ibubapa dan guru menghadiri Program Seminar Keibubapaan dan Mesyuarat Agung Tahunan PIBG Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Simanggang Kali Ke-15 bertempat di Dewan Rafflesia sekolah terbabit hari ini.

Tamat.

No comments:

Post a Comment