Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

16 March, 2010

Ketua kaum perlu tahu tempoh sara dari jawatan - Mong


Caption: PENGHARGAAN...Mong (tengah) menerima cenderamata daripada Tr Ayok sambil disaksikan tetamu jemputan khas yang lain ketika berlangsungnya program itu.

SRI AMAN, Selasa (16 Mac) – Ketua kaum harus sedia maklum mengenai tempoh perkhidmatan masing-masing sebelum bersara daripada memegang jawatan terbabit selepas ini demikian menurut Menteri Muda Permodenan Pertanian (Penyelarasan dan Penyelidikan), Mong anak Dagang.

Ini kerana kerajaam menurut beliau telah menghadkan umur persaraan bagi setiap ketua kaum termasuk Pemanca, Penghulu dan Tuai Rumah di negeri ini kepada 70 tahun sahaja mulai sekarang.

“Had umur perkhidmatan seseorang ketua kaum itu mungkin boleh dilanjutkan kepada 72 tahun jika kerajaan mendapati bahawa beliau berkhidmat dengan baik selama memegang jawatan tersebut.

“Sistem had umur khidmat ketua kaum yang diperkenalkan oleh kerajaan ini adalah demi kebaikan semua penduduk kerana had umur juga menentukan tahap keupayaan ketua kaum mentadbir penduduk di bawah jagaan mereka selepas ini,” menurut beliau.

Mong yang Menteri Muda Pelancongan dan Warisan berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Info Bestari bersempena dengan pengambaraan Program Anjung Bestari bertempat di Rumah Ayok, Kampung Pakit B, Sri Aman hari ini.

Selain itu kemajuan sesebuah kampung atau rumah panjang menurut beliau juga bergantung sepenuhnya kepada keupayaan Tuai Rumah atau Ketua Kaum mentadbir mereka selepas ini.

“Mereka (Tuai Rumah) ini umpama kapten kapal. Kapten yang cekap akan dapat mengemudi anak buahnya dengan lebih baik berbanding dengan kapten kurang mahir yang akan mengemudi anak buahnya sehingga kapal itu karam atau pecah.

“Perkara ini boleh dibanding dengan peranan Tuai Rumah di rumah panjang. Justeru saya menasihatkan penduduk agar lebih teliti memilih ketua masing-masing selepas ini,” katanya sambil menambah bahawa kerajaan akan menilai prestasi Tuai Rumah atau Ketua Kampung setiap empat tahun selepas ini.

Hadir sama ialah Pegawai Penerangan dari Ibupejabat Penerangan Malaysia Sarawak, Kuching iaitu Kok Kumbong, Pegawai Penerangan Daerah Sri Aman, Abdul Latip Shamshuddin, Ketua Pegawai JASA Bahagian Sri Aman, Whelton Lumpoi, para pegawai kerajaan, ketua kaum dan penduduk rumah panjang terbabit.

Mong menerusi majlis terbabit telah mengumumkan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar bernilai RM4,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Ayok manakala RM4,000 untuk biro wanita rumah panjang tersebut.

Pengambaraan Program Anjung Bestari bertempat di Rumah Ayok, Kampung Pakit B, Sri Aman pada hari ini dan Rumah Melunggang, Pakit A pada 17 Mac adalah merupakan anjuran Jabatan Penerangan Daerah Sri Aman dengan kerjasama komuniti bestari rumah panjang terbabit.

Rakaman Program Anjung Bestari bertempat di kedua-dua rumah panjang tersebut akan disiarkan menerusi Program Anjung Bestari pada jam 9.30 setiap hari Isnin di rangkaian televisyen RTM1 dalam tempoh sebulan mulai sekarang.

Tamat.

No comments:

Post a Comment