Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

14 March, 2010

Kerajaan perlu sumber manusia untuk industri negeri - Nyalau


Caption: PENGHARGAAN...Nyalau (tengah) sedang menerima cenderamata daripada Zufar (kanan sekali) sambil disaksikan oleh Rayong (dua kanan), Felicia (kiri sekali) dan Walter (dua kiri) ketika berlangsungnya majlis itu.

SRI AMAN, Khamis (11 Mac) – Sarawak memerlukan sumber manusia yang kompeten dalam 10 bidang industri utama dalam negeri ini sejajar dengan proses transformasi Pembangunan Arus Kedua pada masa sekarang demikian menurut Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau anak Badak.

10 bidang industri yang kompeten terbabit menurut beliau adalah petro kimia, perkilangan, aluminium, gelas, perladangan, perikanan, akuakultur, pelancongan, pendidikan, agropolis, kesihatan, perkhidmatan serta Teknologi Komunikasi dan Maklumat (ICT).

“Sarawak juga sedang mengalami proses transformasi Pembangunan Arus Kedua berasaskan pengetahuan K-Ekonomi ditambahi pula dengan perkembangan projek Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui (SCORE) yang bakal menjana 1.6 juta peluang pekerjaan menjelang tahun 2030.

“Ini bererti Kerajaan Negeri perlu merancang pembangunan dan menjana sumber manusia yang terlatih, berpengetahuan, berkemahiran dan kompeten terutamanya dalam bidang-bidang terbabit,” menurut beliau.

Nyalau berkata demikian ketika berucap mewakili Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri, Datin Hajah Fatimah Abdullah merasmikan Program Hari Peluang Latihan, Pendidikan dan Kerjaya (HPLP) Peringkat Bahagian 2010 bertempat di Dewan Suarah Sri Aman hari ini.

Selain itu katanya bagi menyediakan sumber manusia masa depan dengan kompetensi yang diperlukan, pelajar lepasan sekolah bagi peringkat SPM, SPMV, STPM dan yang setaraf dengannya harus dibangunkan secara sistematik dan berkesan.

“Ini kerana kajian awal Sekretariat Tetap Majlis pada tahun 2008 mendapati bahawa peratusan pelajar lepasan sekolah yang kembali ke alam latihan dan pendidikan adalah 72 peratus berbanding 58 peratus pada tahun 2005.

“Justeru saya menyeru semua pelajar lepasan sekolah di Bahagian Sri Aman ini agar mengambil peluang untuk mengenalpasti peluang latihan, pendidikan dan kerjaya yang ditawarkan demi menjayakan proses transformasi Pembangunan Arus Kedua selepas ini,”katanya.

Hadir sama ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili, Dr Johnnical Rayong anak Ngipa, Timbalan Residen Bahagian Sri Aman (Sosial), Felicia Tan, wakil Pengarah Pelajaran Sarawak, Walter Lamat Kiyai dan wakil Pengarah Unit Pembangunan Sumber Manusia dan Kualiti, Dr Zufar Yadi.

Program ini yang turut diadakan bersempena pengumuman dan pengeluaran keputusan SPM 2009 telah dihadiri sekitar 3,000 orang pelajar lepasan sekolah dan dijayakan menerusi pameran oleh 40 institusi pengajian tinggi awam, swasta, badan kewangan, badan kerajaan yang menawarkan pinjaman atau biasiswa pendidikan.

Tamat.

No comments:

Post a Comment