Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

14 March, 2010

Kempen penggunaan tali pinggang keselamatan 24 mac ini

SRI AMAN, Jumaat (12 Mac) – Bank Rakyat cawangan Sri Aman akan menganjurkan Kempen Keselamatan Pengunaan Tali Pinggang Keselamatan bertempat di hadapan Hospital Bahagian Sri Aman pada 24 Mac ini.

Pengurus Bank Rakyat cawangan Sri Aman, Roslan Ali ketika dihubungi berkata kempen terbabit bertujuan untuk menyedarkan penggunaan kenderaan termasuk kereta dan lori untuk menggunakan tali pinggang keselamatan ketika memandu untuk sepanjang masa.

“Saya percaya masih ramai pengguna kenderaan di bandar Sri Aman yang tidak menitikberatkan penggunaan tali pinggang keselamatan ketika memandu kenderaan masing-masing di atas jalan raya.

“Justeru pihak Bank Rakyat akan mengadakan kempen ini untuk menyedarkan pengguna kenderaan agar mengutamakan keselamatan diri dengan memakai tali pinggang keselamatan masing-masing selepas ini,” katanya.

Untuk menjayakan kempen ini kata Roslan, pihak Bank Rakyat Sri Aman mengedarkan sticker kesedaran penggunaan tali pinggang keselamatan kepada 15 orang pengguna kenderaan pertama ketika berlangsungnya kempen itu kelak.

Malahan pihak beliau juga akan mengedarkan risalah mengenai produk-produk yang ditawarkan oleh Bank Rakyat cawangan Sri Aman kepada pengguna kenderaan dalam bandar ini.

“Kami berharap agar Kempen Keselamatan Pengunaan Tali Pinggang Keselamatan ini dapat dilaksana dengan penuh jaya demi menyedarkan pengguna kenderaan dalam bandar Sri Aman di masa akan datang.

“Menerusi kempen ini kami ingin membuktikan kepada semua pihak bahawa Bank Rakyat bukan hanya sekadar mengutamakan hal perniagaan kewangan malah turut menitikberatkan keselamatan pengguna kenderaan dalam bandar ini,” katanya.

Kempen Keselamatan Pengunaan Tali Pinggang Keselamatan yang akan berlangsung berdekatan dengan kawasan Jejantas di laluan Jalan Hospital terbabit dijangka bermula sekitar jam 10 pagi.

Tamat.

No comments:

Post a Comment