Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

30 March, 2010

Kemaskini alamat tempat tinggal kata Harden kepada pengundi


Caption: USAHA KERAJAAN...Harden (kiri) menyampaikan replika kunci kepada wakil penerima sambil disaksikan oleh hadirin dan penduduk di sini kelmarin.


SRI AMAN, Isnin (30 Mac) – Penduduk terutamanya para pengundi berdaftar harus sentiasa mengemaskini kedudukan alamat tempat tinggal masing-masing dengan pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mulai sekarang.

Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden anak Hollis berkata tindakan ini merupakan langkah awal untuk para pengundi sendiri bagi menghadapi musim pilihan raya negeri atau umum ini kelak.

“Misalannya terdapat para pengundi berdaftar yang masih mempunyai alamat tempat tinggal di Kuching namun sudah menetap di bandar Sri Aman atas alasan perkahwinan atau pun kerja.

“Akibatnya ialah orang itu tidak akan dapat mengundi ketika berlangsungnya pilihan raya jika tidak mengemaskini alamat tinggalnya. Perkara ini harus dipandang serius oleh orang itu sendiri demi kepentingan kemajuan hidup masing-masing selepas itu,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Terima Kasih Kepada Pemimpin Serta Kerajaan Negeri Sarawak bertempat di Rumah Umbek Achat, Kampung Dayak Baru Kejatau petang kelmarin.

Selain itu Harden juga mahu Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) untuk membantu kerajaan menjayakan proses banci yang berlangsung di penempatan masing-masing selepas ini.

“JKKK termasuk Ketua Kampung atau Tuai Rumah perlu mengenalpasti jumlah penduduk baru dalam kawasan masing-masing untuk setiap 10 tahun sekali demi menjayakan proses banci di situ oleh kerajaan.

“Rekod jumlah penduduk di kawasan penempatan masing-masing menerusi proses banci itu kelak akan membolehkan kerajaan merangka pelan pembangunan yang terbaik untuk penduduk di masa akan datang,” katanya.

Hadir sama ialah Pegawai Perpaduan dan Integrasi Nasional Sri Aman, Mohd Yusli Nassir, Pegawai Belia dan Sukan Sri Aman, Syennier Jean Serit, wakil Pejabat Daerah Sri Aman, Rickson Jawa, wakil Ahli Parlimen Sri Aman, Abah Uggie, SAO Henry Kerang, Pengerusi JKKK KRT Kejatau, Sarap Bada dan Tuai Rumah Umbek Achat.

Harden menerusi majlis itu mengumumkan peruntukan bernilai RM3,000 untuk JKKK Rumah Umbek dan RM2,000 untuk biro wanita kampung berkenaan.

Seramai 10 orang penduduk dari kampung berkenaan menerima rumah baru hasil dari Program Bantuan Rumah (PBR) di bawah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) yang mencatatkan kos pembinaan bernilai RM40,000 bagi setiap satu rumah berkenaan.

Tamat.

No comments:

Post a Comment