Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

24 March, 2010

Jangan menentang arus - Nyalau


Caption: PENGHARGAAN...Nyalau (tengah) ketika menerima cenderamata daripada Tr Entu ketika berlangsungnya majlis baru-baru ini.

ENGKILILI, Rabu (24 Mac) – Penduduk di dalam kawasan Parlimen Lubok Antu dinasihat agar tidak bertindak ‘menentang arus’ dalam hal ehwal politik selepas ini terutama sekali ketika menjelang pilihan raya akan datang kelak.

Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau anak Badak berkata kawasan Lubok Antu telah menikmati pembangunan amat memberangsangkan semenjak kebelakangan ini hasil tindakan penduduk di situ yang setia menyokong kerajaan Barisan Nasional (BN) semenjak 15 tahun lepas.

“Kawasan Lubok Antu kini sedang giat mengalami proses pembangunan yang cukup rancak bermula dari penyediaan kemudahan jalan raya, pembekalan elektrik, air bersih dan banyak lagi.

“Ini merupakan hasil yang mereka perolehi apabila setia menyokong BN. Bagaimanapun hasilnya mungkin boleh berubah selepas ini sekiranya mereka bertindak menentang arus iaitu dengan menyokong pihak pembangkang dan bukan lagi kita (BN),” katanya.

Nyalau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Perhimpunan Sivik anjuran Jabatan Penerangan Daerah Lubok Antu bertempat di Rumah Entu anak Nawin, Kelampo dalam daerah kecil Engkilili, Sri Aman baru-baru ini.

Selain itu berharap agar penduduk di kawasan Lubok Antu tidak mudah terpengaruh dengan hasutan golongan cerdik pandai yang mahu mengurangkan sokongan masing-masing terhadap kerajaan BN selepas ini.

Menurut Nyalau adalah tidak berbaloi bagi penduduk untuk mendengar hasutan golongan cerdik pandai yang sebelum ini menikmati kesenangan hidup di bandar berbanding dengan mereka yang masih lagi tinggal di rumah panjang.

“Golongan cerdik pandai ini hidup senang-lenang di bandar dan kemudiannya bertindak menghasut penduduk di kawasan rumah panjang yang masih belum menikmati lain-lain kemudahan asas seperti bekalan elektrik dan sebagainya.

“Penduduk akan rugi sekiranya mendengar hasutan mereka. Mereka tidak akan menerima pembangunan hasil tindakan masing-masing menentang kerajaan manakala penghasut pula akan pulang ke bandar dan menikmati kesenangan hidup seperti biasa,” katanya.

Hadir sama ialah Pegawai Penerangan Daerah Lubok Antu, James Roselly anak Robert Resa, Pegawai Penerangan Parlimen JASA P.203 Lubok Antu, Geoffery Baja anak Ricky Maba dan ketua kaum di sini.

Tamat.

No comments:

Post a Comment