Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

28 March, 2010

Betong sambut ulangtahun ke-8 jadi Bahagian



Caption:

1.TERIMA KASIH...Luta (kanan) menyampaikan cenderamata kepada Romie (kiri) ketika berlangsungnya kempen itu kelmarin.

2.MERIAH...Antara penduduk yang turun padang untuk menjayakan kempen Gotong-Royong di Bandar Betong kelmarin.

By Saleman Senin, Pejabat Pelajaran Daerah Betong

BETONG, Sabtu (27 Mac) – Sambutan ulang tahun Ke-8 Betong menjadi Bahagian Ke-11 dalam Sarawak menjadi cukup bermakna apabila sejumlah 450 orang penduduk turun padang untuk menjayakan Kempen Gotong Royong Membersih Bandar Betong bermula jam 7.30 pagi kelmarin.

Kesemua penduduk yang turun padang dalam program berkenaan adalah dari 41 buah jabatan kerajaan, pertubuhan, persatuan, Badan Bukan Kerajaan (NGO), kampung dan agensi yang ada dalam bahagian Betong terbabit.

Program anjuran Majlis Daerah Betong yang turut diserikan lagi dengan kehadiran kakitangan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Betong itu telah dirasmikan Residen Bahagian Betong, Datu Romie Sigan Daniel.

Romie ketika berucap pada majlis berkenaan menjelaskan bahawa program terbabit bertujuan untuk memeriahkan lagi suasana Sambutan Ulang Tahun ke-8 Betong menjadi Bahagian Ke-11 dalam negeri Sarawak.

“Sambutan telah diadakan pada setiap tahun semenjak gabungan daerah Betong dan Saratok diiktiraf oleh kerajaan menjadi Bahagian Ke-11 dalam negeri ini pada 26 Mac 2002.

“Pelbagai aktiviti telah dirancang bagi menjayakan sambutan. Justeru diharap agar penduduk Betong dapat menghargai nikmat pembangunan dan keamanan yang mereka kecapi semenjak lapan tahun yang lepas,” katanya.

Selain Romie juga menyeru kepada penduduk Betong untuk bersama-sama bagi menyumbang usaha ke arah pembangunan dan kesejahteraan Bandar Betong di masa akan datang.

Betong menurut beliau tidak lagi dianggap sebagai sebuah pekan sebaliknya telah diiktiraf sebagai sebuah bandar yang membangun menerusi hasil usaha kerajaan sebelum ini.

“Pembinaan kawasan rekreasi juga telan dirancang. Pembangunan kawasan bandar baru Betong akan lebih memberi tumpuan kepada kehadiran pelancong-pelancong dari luar untuk datang ke Betong.

“Pembangunan yang pesat di Bahagian Betong membuktikan bahawa kerajaan prihatin dalam merealisasikan visi ‘Rakyat didahulukan Pencapaian diutamakan’ selama ini,” katanya.

Turut hadir dalam majlis berkenaan ialah Setiausaha Majlis Daerah Betong, Anthony Luta. Pelbagai program telah dirancang oleh Pejabat Residen bersempena dengan sambutan berkenaan antaranya ialah Majlis Makan Malam di Dewan Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan malam ini.

Tamat.

No comments:

Post a Comment