Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

22 February, 2010

Wakil rakyat BN perlu rajin turun padang - Taib




Caption:

1.INGIN TAHU...Najib (tengah) sambil diiringi oleh Taib (kiri beliau) dan Jabu (kiri sekali) ketika meninjau pameran mini mengenai projek RES di Lachau pada majlis itu.

2.SELAMAT DATANG...Taib ketika disambut oleh ADUN Bukit Begunan, Mong Dagang, ADUN Balai Ringin, Snowdan Lawan dan ADUN Saribas, Dr Haji Wahbi Junaidi.

SRI AMAN, Isnin (22 Feb) – Wakil rakyat Barisan Nasional (BN) di kawasan luar bandar dinasihat agar lebih rajin ‘turun padang’ untuk memastikan arus pembangunan dalam kawasan pilihan raya masing-masing berkembang dari masa ke semasa.

Ketua Menteri, Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud berkata usaha terbabit amat penting demi merapatkan jurang pembangunan di antara kawasan dalam dan luar bandar dalam negeri ini di masa akan datang.

“Proses pembangunan luar bandar telah menjadi fokus utama kerajaan pada sekarang dan ia menuntut usaha gigih kesemua wakil rakyat kita (BN) untuk memantau dan merangka pelbagai pelan penting untuk memajukan kawasan masing-masing selepas ini.

“Jika wakil rakyat kita rajin bekerja maka tidak mustahil kawasan luar bandar akan cepat membangun atau seiring dengan kemajuan yang dikecapi oleh penduduk di kawasan bandar pada masa akan datang,” menurut beliau.

Beliau turut menambah bahawa sekiranya tranformasi pembangunan berjalan dengan lancar di kawasan luar bandar maka nescaya akan lebih peruntukan kerajaan bakal disalurkan bagi tujuan pembangunan selepas itu.

Taib berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (RES) di Rumah Radin, Ulu Lachau, Lachau kira-kira 56 kilometer dari bandar Sri Aman hari ini.

Selain itu beliau juga menyarankan golongan cerdik pandai yang berasal dari kawasan luar bandar sebelum ini untuk bersedia membantu kerajaan bagi membangunkan kawasan luar bandar masing-masing selepas ini.

“Kerajaan memerlukan kepakaran dan pengetahuan mereka tentang keadaan kawasan luar bandar di negeri ini sebelum kerajaan melaksana pelbagai projek pembangunan yang dapat menguntungkan penduduk di situ.

“Justeru golongan cerdik pandai (dari luar bandar) yang kini bekerja di bandar perlu bersedia membantu kerajaan berhubung rancangan terbabit selepas ini,” menurut beliau.

Terdahulu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah menyempurnakan Majlis Perasmian Projek RES yang menelan kos berjumlah RM13.2 juta untuk 2,800 penduduk dari lapan buah rumah panjang di kawasan Lachau.

Hadir sama ialah Timbalan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri George Chan Hong Nam, Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Dato Sri Douglas Uggah Embas, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Shafiee Apdal, para menteri dan menteri muda kabinet Kerajaan Negeri Sarawak, wakil rakyat BN, pegawai kerajaan, ketua kaum dan penduduk di situ.

Tamat.



1 comment:

  1. setuju dengan KM kita...YB perlu selalu turun padang...jangan tunggu pilihanraya sahaja...jangan terlampau bermimpi YB...zaman sekarang suasana tempur politik jauh berbeza...silap hari boleh jatuh...sekarang pengundi semakin kritikal terhadap keberhasilan seorang YB

    ReplyDelete