Please jump to our new blog --> www.newsriamannews.blogspot.com

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

18 February, 2010

Seorang lelaki cedera, seorang ditahan - kes tembak di Batu Lintang

SRI AMAN, Khamis (18 Feb) – Seorang lelaki mengalami cedera di bahagian leher dan punggung dipercayai setelah terkena tembakan senjata api daripada seorang lelaki lain menerusi kejadian yang berlaku di kawasan Bagunan, Sungai Tengak, Batu Lintang, Sri Aman sekitar jam 5 petang kelmarin.

Menurut sumber, mangsa yang dipercayai terkena tembakan senjata api itu dikenali sebagai Ain anak Renang, 49, dari Rumah Umpol, Sungai Tengak, Batu Lintang, Sri Aman.

Sebelum berlakunya kejadian kata sumber, mangsa dipercayai sedang duduk di ‘empara’ (pelantar duduk berkayu) atas sebatang Pokok Beringin dengan bertujuan untuk memburu haiwan liar yang datang memakan buah di bawah pokok terbabit.

Setelah penantiannya tidak berhasil, mangsa kemudiannya dipercayai turun dari pokok berkenaan untuk pulang ke rumah sebelum terdengar bunyi tembakan senjata api tidak jauh dari situ.

“Mangsa dikatakan terlentang setelah berlakunya tembakan berkenaan. Dipercayai bahawa tembakan itu datangnya dari seorang lelaki yang mungkin menyangka bahawa mangsa adalah ‘babi hutan’ yang sedang mencari buah di bawah pohon berkenaan,” kata sumber.

Menyedari mangsa adalah manusia, lelaki kemudiannya dipercayai bergegas pulang ke rumah panjang untuk memaklumkan perkara itu terhadap penduduk yang lain sebelum menyerah diri di Balai Polis Batu Lintang.

Mangsa yang terkena tembakan tersebut kata sumber akhirnya berjaya ditemui penduduk rumah panjangnya sendiri di lokasi kejadian setelah perkara terbabit dimaklumkan oleh penghuni rumah panjang lelaki berkenaan.

“Ain kemudiannya dikejarkan ke Hospital Bahagian Sri Aman sekitar jam 7 petang sebelum dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak, Kuching, sekitar jam 10.30 malam untuk rawatan lanjut,” kata sumber.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Sri Aman, DSP Mat Jusoh Muhammad ketika dihubungi mengesahkan bahawa pihak polis telah menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 9.30 malam.

“Si penembak kini sedang ditahan untuk tujuan siasatan lanjut di Balai Polis Sri Aman. Kita juga turut merampas satu senapang patah daripada lelaki berkenaan bersama dengan empat biji peluru hidup dan satu kelonsong peluru,” katanya.

Tamat.

No comments:

Post a Comment